Tiada kata putus tentang kaedah kurangkan kadar tol: Mahathir
Kerajaan Malaysia masih belum membuat keputusan tentang kaedah mengurangkan kadar tol. Demikian menurut Perdana Menteri negara itu, Dr Mahathir Mohamad.

(Gambar hiasan: BERNAMA)
PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia masih belum membuat keputusan tentang kaedah mengurangkan kadar tol. Demikian menurut Perdana Menteri negara itu, Dr Mahathir Mohamad.
Semasa mengulas kenyataan oleh mantan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin bahawa kerajaan mampu mengurangkan kadar tol sehingga 25 peratus, Dr Mahathir berkata terdapat beberapa cadangan daripada pihak swasta untuk mengambil alih konsesi lebuh raya tetapi kadar yang boleh dikurangkan tidak sampai 25 peratus.
"Kita sekarang menghadapi masalah. Walaupun kita buat janji untuk hapus tol, tetapi apabila tol dihapuskan, tanggungan kerajaan akan meningkat amat tinggi sekali.
"Umpamanya, kalau hapus tol Lebuhraya Utara Selatan (Plus), kerajaan kena beli lebuh raya itu dengan harga RM30 bilion. Lebih baik belanja bayar hutang, boleh kita kurang sedikit beban kita," jelas Dr Mahathir di sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara pada Isnin (27 Mei).
Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan pendapat Encik Daim bahawa sokongan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan akan meningkat jika kadar tol dapat dikurangkan sambil berkata: "Rakyat akan berasa lega tak perlu bayar tol tetapi kerajaan akan rasa tak lega kerana tol akan dibayar oleh kerajaan."
Mengenai permohonan Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia supaya kerajaan memberikan kuota khas sekurang-kurangnya 20 peratus kepada kontraktor Bumiputera untuk melibatkan diri dalam kerja-kerja awam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Dr Mahathir berkata kerajaan akan meneliti perkara itu.
"Kita ada tentukan supaya kontraktor tempatan dapat tempat tetapi sama ada mereka Bumiputera atau bukan Bumiputera belum ditentukan," ujarnya.
Apabila ditanya mengenai insentif Hari Raya Aidilfitri untuk para peneroka Felda pula, Dr Mahathir meminta supaya perkara itu diajukan kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
"Kita tak bincang tentang Felda (hari ini) tetapi kita telah bincang mengenai Felda banyak kali di dalam forum lain dan kita ada cadangan-cadangan lain untuk perbaiki keadaan di Felda," kata Dr Mahathir.
Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) baru-baru ini meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif atau duit raya kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara seperti amalan yang dilakukan sejak tahun 2011.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.