Skip to main content

Dunia

Tiada kaitan antara barah otak dengan telefon bimbit: Kajian Australia

Anggaran Waktu Membaca:
CANBERRA: Telefon bimbit tidak dikaitkan dengan barah otak, menurut satu kajian yang dijalankan oleh saintis Australia yang ditugaskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lapor Xinhua.

Penyelidik dari Agensi Perlindungan Radiasi dan Keselamatan Nuklear Australia (ARPANSA) pada Rabu (4 Sep) menerbitkan hasil kajian sistematik mengenai kesan kesihatan pendedahan gelombang radio daripada telefon bimbit.

Kajian yang ditugaskan oleh WHO itu menganalisis lebih 5,000 kajian yang dijalankan antara 1994 dan 2022 mendapati kadar tumor otak kekal stabil meskipun terdapat peningkatan kadar penggunaan telefon bimbit dalam tempoh yang sama.

"Apabila Agensi Penyelidikan Barah Antarabangsa (IARC) mengklasifikasikan pendedahan gelombang radio sebagai kemungkinan karsinogen kepada manusia pada 2013, ia sebahagian besarnya berdasarkan bukti terhad daripada kajian pemerhatian manusia.

"Tinjauan sistematik ini menggunakan set data yang jauh lebih besar berbanding yang diperiksa oleh IARC, termasuk kajian yang lebih terkini dan komprehensif. Oleh itu, kami lebih yakin bahawa pendedahan kepada gelombang radio daripada teknologi ini tidak berbahaya kepada kesihatan manusia, " kata Ken Karipidis dari ARPANSA yang mengetuai kajian itu, dalam satu kenyataan media.

Kajian itu juga menyimpulkan bahawa tiada kaitan antara penggunaan telefon bimbit yang berpanjangan atau kekerapan penggunaannya dengan barah.

Encik Karipidis, yang juga naib pengerusi International Commission on Non-Ionizing Radiation Protection, berkata hasil kajian ini konsisten dengan penyelidikan ARPANSA sebelum ini yang menunjukkan tiada peningkatan membabitkan kes barah otak dalam tempoh 20 tahun yang lalu.

ARPANSA merupakan badan perlindungan radiasi utama kerajaan persekutuan Australia.
Sumber : Bernama/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita