Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tiada jaminan boleh tunaikan umrah jika guna visa pelancong, ziarah

Penggunaan visa pelancong atau visa ziarah untuk menunaikan umrah boleh membawa risiko dan ketidaktentuan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Penggunaan visa pelancong atau visa ziarah untuk menunaikan umrah boleh membawa risiko dan ketidaktentuan.

Demikian menurut Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS) yang kini berada di Arab Saudi bagi meninjau protokol mengerjakan umrah bagi jemaah Singapura.

Rombongan AMTAS di Lapangan Terbang Changi. (Gambar: Rosli Razak/BERITAmediacorp)

Prosedur sebelum berlepas juga perlu diteliti oleh pasukan itu bagi memudahkan proses di lapangan terbang bagi para jemaah kelak.

Kumpulan pertama jemaah Singapura dijadualkan berangkat pada 4 November nanti.

“Terdapat banyak dokumen yang perlu dibawa dan diperiksa kakitangan Scoot sebelum kami dibenarkan melakukan check-in,” kata Penolong Setiausaha AMTAS, Ustazah Juyda Noor Mohamad.

Dokumen-dokumen tersebut termasuk sijil vaksinasi, hasil ujian PCR yang negatif, visa yang sah dan juga dokumen pra-daftar ketibaan di Arab Saudi melalui lelaman “Muqeem”.

Aplikasi 'Tawakkalna'.

Aplikasi Tawakalna. 

Setibanya di Jeddah pula, proses imigresen bermula dengan pemeriksaan status ujian PCR dahulu dan selainnya serba ringkas dan pantas.

Semua jemaah juga perlu membeli kad SIM di lapangan terbang bagi pendaftaran untuk aplikasi COVID-19 Tawakalna yang dibangunkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Kad SIM di sana mesti diperolehi jemaah kerana nombor telefon Saudi diperlukan untuk membuat pendaftaran.

Fungsi Tawakalna sama seperti aplikasi TraceTogether di Singapura. Selain mengandungi status vaksinasi, ia juga mempunyai rekod lawatan ke tempat-tempat yang dikunjungi jemaah.

“Ini adalah satu perkara yang harus diberi perhatian kerana mengikut pengalaman lalu, biasanya ada sebilangan jemaah, terutama golongan lanjut usia yang tidak memiliki telefon bimbit atau telefon yang membolehkan mereka memuatturunkan aplikasi tersebut,” kata Cik Rasidah Mohamed Din, Pengarah, Al Munawwarah Travel & Tours.

Jemaah umrah bagaimanapun tidak perlu mengimbas telefon bijak mereka yang mengandungi aplikasi tersebut untuk masuk ke beberapa tempat termasuk Masjid Nabawi.

Satu lagi aplikasi penting adalah aplikasi Eatmarna yang perlu digunakan untuk menempah slot ziarah ke Raudhah, untuk slot umrah dan juga untuk solat waktu di Masjidil Haram.

Namun, masih ada peraturan berbeza-beza bagi tempahan slot-slot tersebut bagi visa yang berbeza-beza juga.

APA KELEBIHAN VISA UMRAH?

Itulah antara yang mahu dipastikan rombongan AMTAS itu, yang menguji ketiga-tiga visa berbeza iaitu, visa perniagaan, visa umrah dan visa ziarah.

Rombongan AMTAS di Masjid Nabawi. (Gambar: Rosli Razak/BERITAmediacorp)

"Visa umrah bila kita umrah kita telah ditentukan oleh pihak muassasah satu kali dan untuk memasuki Raudhah bagi wanita dan lelaki satu kali. Apa yang kami lihat visa ziarah tak dapat memastikan awak boleh mendapatkan slot pada waktu yang anda inginkan.

"Jadi ini adalah pertaruhan bagi setiap syarikat. Ini katanya boleh mendatang masalah sekiranya umrah diluaskan ke lebih banyak negara dan slot-slot terhad," kata Naib Presiden AMTAS, Ustaz Jalaluddin Hassan.

Ejen-ejen pelancongan, kata Ustaz Jalaluddin perlu bersiap sedia untuk menghadapi satu lagi cabaran.

"Jadi cabaran bagi pihak ejen-ejen ini jika sekiranya mereka telah menempah hotel di Makkah dan Madinah dan slot mereka tidak mereka dapatkan waktu-waktu penginapan mereka di Madinah atau di Makkah, maknanya jemaah mungkin akan terlepas daripada membuat ibadah umrah atau pergi ke Raudhah."

Bukan itu sahaja, setiap jemaah hanya boleh menempah slot untuk diri sendiri sahaja.

“Ini akan menyusahkan kerana ada kemungkinan keluarga yang datang dengan visa ziarah mungkin tidak dapat menempah slot pada waktu yang sama,” kata Ustaz Mohamad Afandi Ahmad, pemilik Syarikat Afandi Travels.

KEADAAN DALAM RAUDHAH LEBIH TERATUR

Selain itu, kumpulan AMTAS ini juga memantau keadaan di Masjid Nabawi yang sudah dibuka pada kapasiti penuh untuk para jemaah yang sudah lengkap divaksin.
Keadaan kelihatan sangat teratur dan para pekerja dilihat melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan dalam dan luar masjid secara kerap.

Di luar masjid, orang ramai dibenarkan berjalan-jalan di luar tanpa perlu memakai pelitup atau memastikan jarak sosial sejak seminggu lalu tetapi masih ramai yang memilih untuk memakai pelitup.
Kesesakan juga dapat dikawal kerana para jemaah perlu menempah slot dahulu sebelum mereka boleh masuk ke Raudhah dan keadaannya lebih terkawal kini.

“Saya melihat keadaan di bahagian jemaah wanita sangat selesa dan teratur kerana tidak perlu berasak-asak seperti sebelum COVID. Jemaah diarah solat mengikut saf yang ditetapkan,” kongsi Cik Rasidah Mohamed Din dari Al Munawwarah Travel & Tours.

Cik Rasidah mendapati keadaan di bahagian jemaah wanita selesa dan teratur. (Gambar: Rosli Razak/BERITAmediacorp)

Meskipun demikian, Cik Rasidah merancang untuk menangguhkan dahulu rancangan untuk menawarkan pakej umrah sehingga awal tahun depan apabila keadaan bertambah stabil.

Pada Isnin (25 Okt) rombongan AMTAS berangkat ke Makkah untuk meninjau protokol keselamatan dan prosedur umrah serta apa yang perlu dilakukan jika jemaah terkena COVID-19.

EJEN DARI MALAYSIA JUGA LAKUKAN LAWATAN PEMBELAJARAN

Pengurus Operasi syarikat Zamrud Travel and Tours, Encik Syed Muhamad Iskandar dalam kalangan wakil-wakil daripada 25 ejen Malaysia yang juga sedang melakukan lawatan pembelajaran prosedur umrah waktu COVID ini.

“Para pegawai saya masuk menggunakan visa ziarah dan visa umrah kerana mahu menguji sistem tempahan slot dan prosedur lain sebelum membawa jemaah kami.”

“Saya tidak mempunyai masalah untuk menempah empat slot umrah di Masjidil Haram tetapi enam pegawai saya tidak berjaya. Sebelum COVID kami biasa bawa jemaah menggunakan visa ziarah tetapi berdasarkan pengalaman ini, kami akan pertimbangkannya dengan teliti.

Rakyat Malaysia dibenar mengerjakan umrah berkuat kuasa 18 Oktober, selaras dengan pemansuhan MyTravelPass untuk ke luar negara.

Para jemaah di Masjid Nabawi pada 25 Okt. (Gambar: Rosli Razak/BERITAmediacorp)

Keadaan di sekitar Masjid Nabawi teratur. (Gambar: Rosli Razak/BERITAmediacorp)

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan