Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tiada gangguan bekalan ubat di kemudahan kesihatan KKM, kata Khairy Jamaluddin

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada gangguan bekalan ubat di kemudahan kesihatan KKM, kata Khairy Jamaluddin

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Malaysia Khairy Jamaluddin. (Gambar: BERNAMA)

SEPANG: Bekalan ubat-ubatan di kemudahan kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sama ada di hospital atau klinik kesihatan KKM, mencukupi dan tidak berlaku gangguan bekalan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Buat masa ini tiada masalah. Bekalan (ubat-ubatan) sentiasa mencukupi. Kita sentiasa pantau untuk memastikan tahap stok ubat-ubatan di fasiliti kami mencukupi,” kata beliau di sidang media selepas melancarkan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di Sepang pada Selasa (7 Jun). 

Media sebelum ini melaporkan berlaku kekurangan bekalan ubat-ubatan dan bahan mentah bagi produk farmaseutikal akibat permintaan tinggi selepas pandemik COVID-19 dan pembukaan semula aktiviti ekonomi.

Encik Khairy bagaimanapun berkata situasi tersebut dilaporkan berlaku di kemudahan kesihatan swasta termasuk farmasi.

Menurut beliau, antara maklum balas yang diterima KKM dalam sesi libat urus dengan pihak industri farmaseutikal pada 2 Jun lalu bagi mendapatkan gambaran mengenai bekalan ubat-ubatan yang dihasilkan di Malaysia atau diimport, adalah berlaku kekurangan bekalan ubat-ubatan untuk merawat cirit-birit, demam, selesema, batuk, antibiotik dan vitamin C.

Encik Khairy berkata beliau sudah mengarahkan Bahagian Perkhidmatan Farmasi untuk bekerjasama dengan persatuan farmasi di Malaysia, termasuk pengeluar ubat-ubatan, untuk mencari bekalan alternatif sekiranya masalah kekurangan itu berterusan.

Beliau juga sudah mengarahkan Ketua Setiausaha KKM, Harjeet Singh, untuk menyediakan perancangan serta strategi jangka sederhana dan panjang sebagai persiapan sekiranya masalah bekalan ubat-ubatan berlaku di kemudahan kesihatan KKM.

“Kami (KKM) perlu ada strategi (tangani kekurangan bekalan ubat-ubatan) sama ada cari sumber pasaran dari negara baru atau bekerjasama dengan industri farmaseutikal tempatan agar bekalan tidak terjejas di masa hadapan,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Encik Khairy mahu pengarah dan ketua jabatan kemudahan kesihatan KKM untuk melaporkan segera sekiranya berlaku kekurangan tenaga kerja atau kekosongan jawatan di fasiliti masing-masing. 

Langkah itu supaya mengelak berlaku bebanan tugas dalam kalangan pegawai perubatan sedia ada.

“Saya sendiri tidak puas hati kalau ada aduan berhubung situasi ini,” kata beliau ketika mengulas luahan pengguna akaun Twitter yang mendakwa isterinya terpaksa bertugas secara ‘on call’ setiap hari selama tiga bulan kerana rakan sekerja mengambil cuti bersalin.

Encik Khairy berkata pihaknya sedang menunggu laporan daripada pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan budaya buli di hospital KKM bagi mencari penyelesaian berhubung jadual kerja, etika kerja dan elaun ‘on call’.

"Kami bagi dua bulan kepada pasukan khas untuk keluarkan satu laporan menyeluruh. Sudah tiga minggu pasukan ini bekerja dan berbaki lagi lima minggu untuk siapkan laporan," kata beliau.

Bagi melancarkan tugas pasukan khas itu, Encik Khairy menggesa semua pegawai perubatan KKM untuk memberi maklum balas terhadap borang kaji selidik yang sudah diemel kepada mereka.

"Survey (kaji selidik) ini penting kerana terdapat soalan mendalam mengenai persekitaran kerja di KKM," katanya.

Encik Khairy menambah ketika ini seramai 40,000 pegawai perubatan KKM sudah melengkapkan borang kaji selidik berkenaan.

Beliau menyasarkan 60,000 pegawai perubatan KKM untuk turut serta dalam kaji selidik itu bagi memastikan maklumat tepat dan menyeluruh diterima pasukan khas terbabit yang ditubuhkan bulan lalu.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan