Skip to main content

Dunia

Tiada DNA babi dalam 'sandwic ham & cheese' di KK Mart: Menteri Malaysia

Jabatan Kimia Malaysia telah mengesahkan bahawa tiada unsur asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam semua sampel setiap perisa sandwic yang didapati menyalah guna logo halal.

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada DNA babi dalam 'sandwic ham & cheese' di KK Mart: Menteri Malaysia

Sandwic yang dihasilkan oleh Shake and Bake Cafe Sdn Bhd itu dijual di dua kedai KK Mart 24 jam di Universiti Malaya dan mempunyai logo halal walaupun didakwa tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM). (Gambar: CNA/ Rashvinjeet S Bedi, TikTok/@pembinaum)

KUALA LUMPUR: Jabatan Kimia Malaysia telah mengesahkan bahawa tiada unsur asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam semua sampel setiap perisa sandwic yang didapati menyalah guna logo halal.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu disahkan oleh Jabatan Kimia sebagai pihak yang bertanggungjawab berkaitan isu berkenaan.

"Ada pihak yang bertanya tentang isu DNA Porcine dan sebagainya, laporan daripada Jabatan Kimia pihak yang berwibawa dan berautoriti.

"Saya ingin sahkan walaupun kita boleh tengok daripada pendakwaan tersebut tidak ada dakwaan dibuat kerana Jabatan Kimia telahpun mengesahkan bahawa tidak ada DNA Porcine babi dalam semua sampel, semua jenis perisa tersebut," katanya pada Ahad (16 Feb), seperti dipetik oleh agensi berita tempatan.

Sandwic yang dihasilkan oleh Shake and Bake Cafe Sdn Bhd itu dijual di dua kedai KK Mart 24 jam di Universiti Malaya dan mempunyai logo halal walaupun didakwa tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Akhbar The Edge Malaysia melaporkan bahawa Shake and Bake Cafe Sdn Bhd dan pengarahnya, Ewe Sarn Yeun, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh dan Noor Ruzilawati Mohd Nor pada dua perbicaraan Mahkamah Sesyen pada 24 Jan.

Ewe dan syarikatnya masing-masing menghadapi enam pertuduhan di bawah Perenggan 8(b) Perintah Perihal Dagangan (Pensijilan dan Penandaan Halal) 2011 kerana didakwa menawarkan produk dengan logo halal yang tidak dibenarkan.

Mereka didakwa membekalkan 366 bahan makanan – 50 sandwic tuna, 43 sandwic kentang, 77 sandwic ayam, 74 sandwic mayo telur, 66 sandwic ham dan keju serta 56 sandwic cili crabstick – dengan logo yang tidak dibenarkan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM100,000 (S$30,204) dan penjara sehingga tiga tahun, lapor The Edge.

Kes mereka akan disebut lagi pada 5 Mac.

Sehubungan itu, Ecik Armizan berharap rakyat memahami bahawa pendakwaan siasatan telah dilakukan dengan telus dan ia telah dirujuk kepada pihak yang berautoriti.

"Maksudnya di sini perlu untuk memastikan penggunaan logo halal yang diperakui oleh agensi yang berwajib iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Ini bukan isu yang kita boleh ambil ringan dan kita selaku penguat kuasa, walaupun kita bukanlah pengeluar logo halal itu tetapi kita membantu akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang kesalahan dan kita alu-alukan juga laporan serta aduan daripada semua pihak," katanya.

Beliau sebelum itu menolak dakwaan bahawa tindakan lambat diambil oleh pihak KPDN sebaliknya dalam tempoh singkat telah berjaya melakukan pendakwaan terhadap syarikat berkaitan.

"Sebenarnya tidak lambat, perkara tersebut menjadi tular pada 10 Januari, serta merta, bila sudah viral yang kita anggap aduan daripada awam pegawai penguat kuasa telah pun turun ke premis yang dimaksudkan," kata Encik Armizan seperti dinukil the New Straits Times.

"Pada 13 Januari kita telah kumpul bukti, sandwich pelbagai perisa itu kita telah hantar sampelnya kepada Jabatan Kimia dan 14 Januari kita telah merujuk kepada Jakim dari aspek logo halal.

"Pada 20 Januari kita dapat laporan oleh Jabatan Kimia dan kita serahkan kertas pendakwaan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan 23 Januari kita telahpun mendapat izin dakwa dan 24 Januari pendakwaan telahpun dibuat.

"Jadi dalam tempoh yang singkat itu kita telah berjaya selesaikan siasatan hinggalah kepada pendakwaan dilakukan pada 24 Januari," katanya.
Sumber : Agensi berita/SU/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita