Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tiada campur tangan di sebalik keputusan RoS luluskan jawatan Presiden, Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, kata Ahmad Zahid

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan wujud campur tangan luar di sebalik keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS), memberi pengecualian kepada UMNO berhubung pemilihan parti itu mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).

Encik Ahmad Zahid berkata dakwaan sesetengah pihak termasuk daripada bekas pemimpin UMNO bahawa terdapat campur tangan berhubung isu itu adalah pandangan peribadi dan mereka yang tidak berpuas hati boleh mencabar perkara itu di mahkamah.
“Tidak ada campur tangan luar. Usul (jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan) itu telah diteliti oleh Pengerusi Tetap dan telah mengikut semua peraturan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 serta semua fasal di dalam Perlembagaan.

“Perlu diketahui bahawa badan tertinggi di dalam UMNO adalah Perhimpunan Agung UMNO, dan keputusan itu telah diterima lebih 95 peratus perwakilan.

“Tetapi kita masih lagi menyantuni aduan yang dibuat oleh dua ahli UMNO itu dan memberikan segala maklum balas yang diperlukan kepada RoS,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, pada Khamis (9 Mac).

Sehubungan itu, beliau berkata ia bukan satu bentuk campur tangan oleh pihak luar, sebaliknya apa yang dilakukan adalah di bawah klausa Akta Pertubuhan 1966, yang antara lain menyebutkan bahawa RoS perlu memberikan keabsahan terhadap sesuatu keputusan.

Dalam pada itu, Encik Ahmad Zahid turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang tiada kaitan dengan UMNO, namun menunjukkan minat dengan hal dalaman parti itu dengan turut membangkitkan isu berkenaan semasa persidangan Dewan Rakyat.

“Ini memperlihatkan bahawa walaupun UMNO dianggap sebagai parti yang telah terpinggir di dalam PRU yang lalu dan tidak mempunyai potensi yang besar di dalam PRN yang akan datang, tapi minat yang diperlihatkan oleh tokoh-tokoh di luar UMNO menunjukkan ia adalah sebuah parti yang akan terus memainkan peranan di pentas politik tanah air,” katanya.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan