Skip to main content

Dunia

'Tiada bukti' hilang undi atau diubah, tegas pegawai pilihan raya AS

Para pegawai kanan persekutuan Amerika mengesahkan bahawa "tiada bukti" undi hilang begitu saja atau diubah, atau sistem-sistem pengundian dicabuli dalam Pilihan Raya Presiden.

Anggaran Waktu Membaca:
'Tiada bukti' hilang undi atau diubah, tegas pegawai pilihan raya AS

Para pegawai menguruskan undi di Lawrenceville, berdekatan Atlanta. (Gambar fail: John Bazemore/AP)

Diterbitkan : 13 Nov 2020 10:17AM Dikemas Kini : 13 Nov 2020 10:23AM

WASHINGTON: Para pegawai kanan persekutuan Amerika mengesahkan bahawa "tiada bukti" undi hilang begitu saja atau diubah, atau sistem-sistem pengundian dicabuli dalam Pilihan Raya Presiden.

Para pegawai, yang bertanggungjawab ke atas keselamatan pilihan raya merata negara itu, menolak dakwaan-dakwaan Presiden Donald Trump dan para penyokong Republikan, yang membayangkan terdapat unsur penipuan dan undi yang hilang, sehingga menyebabkan Trump tewas kepada Encik Joe Biden dalam pilihan raya minggu lalu.

"Pilihan raya 3 November adalah yang paling terjamin dalam sejarah Amerika," jelas mereka menerusi satu kenyataan.

"Tiada bukti bahawa sistem pengundian membuang atau mengubah undi, atau dengan cara apa pun dikompromikan," tambahnya.

"Meskipun kami tahu ada banyak dakwaan tidak berasas dan percubaan untuk memutarbelitkan fakta tentang proses pilihan raya kami, kami boleh memberi jaminan kepada anda, bahawa kami yakin dalam keselamatan dan integriti pilihan raya ini. Anda juga harus yakin."

Kenyataan dikeluarkan oleh Majlis Penyelaras Prasarana Pilihan Raya Pemerintah, yang dibentuk di bawah badan utama keselamatan persekutuan, iaitu Agensi Keselamatan Prasarana dan Keselamatan Siber (CISA).

Ia dimeterai para ketua Persatuan Pengarah Pilihan Raya Kebangsaan dan Persatuan Setiausaha Negara - para pegawai yang menguruskan isu-isu pilihan raya pada peringkat nasional - serta pengerusi Suruhanjaya Bantuan Pilihan Raya Amerika.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas Trump mendakwa di Twitter bahawa sebuah wadah digunakan untuk "melenyapkan" 2.7 juta undi, selain menukar beratus-ratus ribu undi beliau bagi menyokong Encik Biden di Pennsylvania dan wilayah-wilayah lain.

Kenyataan itu juga menyatakan, para pegawai pilihan raya di merata negara tersebut sedang "menyemak dan memeriksa sekali lagi" keputusan-keputusan undi untuk mengesahkan peratusan undi.

"Apabila wilayah-wilayah menutup pusat-pusat mengundi, banyak yang akan melakukan pengiraan semula. Semua wilayah yang mencatat kemenangan tipis dalam Pilihan Raya Presiden 2020 mempunyai rekod kertas setiap undi, membolehkan mereka untuk melakukan pengiraan semula jika perlu," kata para pegawai.  

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita