Tiada bukti debu beracun gunung berapi rentas ruang udara Malaysia: MetMalaysia
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip menjadi tetamu dalam program Fokus 30 bertajuk 'Super El Nino: Kesan Kepada Negara' terbitan Bernama Radio pada 10 September 2026. (Gambar: BERNAMA)
- Dr Mohd Hisham Mohd Anip dari MetMalaysia menegaskan tiada bukti debu beracun dari letusan Gunung Anak Krakatau di Indonesia memasuki ruang udara Malaysia.
- Pemantauan menunjukkan abu gunung berapi bergerak ke Lautan Hindi, bukan ke Semenanjung Malaysia, Sabah atau Sarawak.
- Dakwaan tular di media sosial mengenai gas sulfur dioksida dan imej model atmosfera berwarna adalah tidak sahih, dan orang ramai diminta tidak panik.
- Malaysia kini berdepan fasa El Nino biasa yang dijangka mencapai tahap Super El Nino pada Mac hingga April tahun depan, khususnya di utara Semenanjung.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata berdasarkan pemantauan semasa, abu gunung berapi termasuk daripada letusan Gunung Anak Krakatau dikesan bergerak ke arah Lautan Hindi di barat laut Sumatra.
“Kejadian letusan gunung berapi atau gempa bumi dengan fenomena El Nino yang melanda negara, dua perkara berbeza dan tiada kaitan langsung. Kebetulan berlaku pada tempoh sama, jadi ada pihak menyangka ia berkait.
“Hasil pemantauan mendapati, debu berkenaan bergerak ke kawasan lautan terbuka dan bukannya ke arah Semenanjung Malaysia, Sabah atau Sarawak. Saya menggesa orang ramai, terutama jaguh siber supaya menghentikan penyebaran maklumat tidak sahih untuk mengelakkan panik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Fokus 30 bertajuk 'Super El Nino: Kesan Kepada Negara' terbitan Bernama Radio pada Khamis (10 Sep).
Tular di media sosial mendakwa gas sulfur dioksida memasuki ruang udara Malaysia, menyusuli letusan terbaharu Gunung Anak Krakatau, dengan paparan imej model atmosfera berwarna merah dan jingga serta menggesa orang ramai memakai pelitup.
Sebelum ini, Gunung Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda mengalami episod letusan berterusan kira-kira 25 jam bermula 11.07 malam, 4 September dan berakhir 12.04 tengah malam, 6 September.
Mengenai perkembangan cuaca semasa, Dr Mohd Hisham berkata Malaysia ketika ini masih berdepan fasa El Nino biasa, yang secara beransur-ansur berubah daripada tahap lemah ke tahap sederhana dan kuat, sebelum dijangka mencapai kemuncak “sangat kuat” atau Super El Nino.
Beliau berkata Super El Nino dijangka melanda Malaysia pada penghujung Monsun Timur Laut iaitu sekitar Mac hingga April tahun depan, khususnya di negeri utara Semenanjung Malaysia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.