Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Tiada asas' gantung operasi Boeing 737 MAX susuli nahas Ethiopian Airlines

Pengawal selia penerbangan Amerika Syarikat menyatakan bahawa "tiada sebarang asas" untuk menggantung buat sementara operasi pesawat 737 MAX.

Anggaran Waktu Membaca:
'Tiada asas' gantung operasi Boeing 737 MAX susuli nahas Ethiopian Airlines

Sebuah pesawat Boeing 737 MAX di Renton, Washington. (Gambar: Stephen Brashear/AFP)

Diterbitkan : 13 Mar 2019 11:11AM Dikemas Kini : 13 Mar 2019 11:14AM

WASHINGTON: Pengawal selia penerbangan Amerika Syarikat menyatakan bahawa "tiada sebarang asas" untuk menggantung buat sementara operasi pesawat 737 MAX.

Pada Ahad (10 Mac), salah sebuah pesawat model terbabit dalam nahas di Ethiopia, mengorbankan kesemua 157 penumpang dan anak kapal.

Meskipun Boeing memberi jaminan berhubung keselamatan pesawat berkenaan, namun Kesatuan Eropah (EU), Britain dan India tetap menyertai China dan beberapa negara lain menggantung buat sementara operasi pesawat tersebut.

Selain itu, negara-negara berkenaan juga melarang pesawat tersebut daripada memasuki ruang udara masing-masing. Langkah itu diambil sedang negara-negara menantikan hasil siasatan yang dijalankan terhadap nahas tersebut.

Namun setakat ini, Amerika Syarikat enggan mengambil tindakan serupa.

"Sejauh ini, semakan kami menunjukkan bahawa tidak terdapat sebarang isu prestasi sistemik dan ia tidak memberikan sebarang asas untuk mengarahkan agar operasi pesawat itu digantung buat sementara," kata Ketua Jabatan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat, Daniel Elwell, dalam satu kenyataan.

Langkah-langkah yang diambil oleh sejumlah besar negara terhadap pesawat itu memberi tekanan kepada Boeing - iaitu pembuat pesawat terbesar di dunia - untuk membuktikan bahawa pesawat-pesawat MAX selamat digunakan.

Menurut syarikat itu, ia akan memperkenalkan kemas kini sofwe penerbangan menjelang April yang mungkin berupaya menangani masalah pada alat sensor yang rosak.

Kesan keseluruhan larangan pesawat 737 MAX terhadap laluan penerbangan antarabangsa tidak begitu jelas. Buat masa ini, terdapat sekitar 350 pesawat MAX 8 di merata dunia.

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan