Tiada apa yang akan halang peranan Qatar sebagai pengantara: perdana menteri
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani, berkata pada Selasa (9 Sep) bahawa usaha pengantaraan adalah sebahagian daripada identiti Qatar dan tiada apa yang akan menghalang peranannya dalam hal tersebut.
Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman al-Thani, berucap pada sidang media bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat di Doha, Qatar, pada 12 Jun 2024. (Gambar fail: REUTERS/Ibraheem Al Omari/Pool)
Beliau berkata demikian beberapa jam selepas Israel menyerang pemimpin Hamas di Doha.
Doha, bersama Kaherah dan Washington, sudah menjadi pengantara utama antara Israel dengan Hamas sepanjang perang di Gaza.
"Qatar tidak pernah berdiam diri dan akan melakukan segala yang termampu untuk menghentikan perang di Gaza, tetapi untuk rundingan semasa, saya tidak rasa ada sesuatu yang sah sekarang selepas apa yang kita saksikan daripada serangan hari ini," kata Encik al-Thani semasa satu sidang media.
Beliau menyalahkan Israel kerana mensabotaj peluang untuk perdamaian, sambil mengkritik keras Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang menurutnya mengamalkan "keganasan negara".
Encik Netanyahu berkata serangan itu adalah "sepenuhnya wajar" dan dilakukan selepas satu serangan di Baitulmakdis serta kehilangan empat askar Israel di Gaza.
Encik Al-Thani berkata pegawai Amerika Syarikat terlebih dahulu memberi amaran kepada Qatar mengenai serangan Israel 10 minit selepas ia bermula, dan beliau menggambarkan serangan itu sebagai "100 peratus khianat".
"Qatar berhak untuk bertindak balas terhadap serangan terang-terangan ini dan akan mengambil semua langkah yang perlu untuk bertindak balas," tambahnya, sambil memaklumkan bahawa satu pasukan undang-undang sudah ditubuhkan untuk menguruskan respons negara Teluk itu terhadap serangan berkenaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.