Tiada alternatif lain kecuali keamanan bagi selatan Thai, tegas PM Anwar
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berucap di hadapan pemimpin komuniti Islam Thailand di Bangkok selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Pusat Islam Thailand, Ramkhamheang, di pinggir kota Bangkok pada Jumaat (10 Feb). (Gambar: Bernama)
Tegas Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, pada masa sama beliau juga sedar bahawa keamanan hanya boleh dicapai menerusi prinsip keadilan dan sikap ‘ihsan’ seperti mana yang diterapkan dalam Islam.
“Kalau kita terus menerapkan perkara ini, maka saya percaya kita boleh mencari penyelesaian terhadap masalah di selatan Thailand,” kata Encik Anwar di hadapan pemimpin masyarakat Islam Thailand di Bangkok selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Pusat Islam Thailand, Ramkhamheang, di pinggir kota Bangkok.
Menurut laporan Astro Awani, Encik Anwar merujuk kepada kitaran ketegangan di selatan Thailand yang memuncak sejak 2004 sehingga kini dan telah meragut lebih 7,000 nyawa di mana Malaysia merupakan fasilitator kepada proses dialog damai berkenaan.
Sementara itu, Encik Anwar memaklumkan beliau juga sudah menyampaikan hasrat untuk meningkatkan kerjasama di negeri-negeri utara Malaysia (Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan) dan wilayah-wilayah selatan Thai kepada rakan sejawatannya dari Thailand, Prayut Chan-o-cha.
“Bekerjasama dalam pembangunan bersama, pertumbuhan yang lebih di kawasan sempadan, lantas merangsang pembangunan (di kawasan berkenaan),” katanya, lapor Astro Awani.
Dalam pada itu, Encik Anwar turut meluangkan masa untuk menyantuni jemaah di pusat berkenaan.
Ketika menyampaikan ucapannya, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Thailand kerana terus memupuk hubungan baik dengan umat Islam di negara berkenaan.
Umat Islam membentuk lima peratus daripada keseluruhan penduduk Thailand.
Bagaimanapun konsentrasi penduduk Islam paling ramai tertumpu di wilayah-wilayah selatan Thailand seperti Yala, Narathiwat dan Pattani, dengan jumlah penduduk Islam di wilayah-wilayah berkenaan mencecah lebih 70 peratus.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.