Tiada agihan bantuan di Gaza atas faktor keselamatan: PBB
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu (21 Mei) menyatakan hanya sebilangan kecil lori bantuan dibenarkan masuk ke Carikan Gaza melalui Lintasan Kerem Shalom yang dikawal Israel, namun tiada bekalan yang dapat diagihkan atas faktor keselamatan, lapor Anadolu Ajansi.

Lori-lori bantuan melintas masuk ke Gaza. (Gambar: Reuters)
Jurucakap PBB Stephane Dujarric memberitahu para wartawan bahawa semua bekalan bantuan yang melepasi sempadan itu masih berada di kawasan pemunggahan Kerem Shalom kerana "pihak berkuasa Israel hanya membenarkan pasukan pertubuhan itu melalui satu laluan yang sesak dan dianggap tidak selamat serta berisiko tinggi berlaku kejadian rompakan, memandangkan penduduk Gaza telah lama berada dalam keadaan terdesak akibat sekatan Israel selama lebih 11 minggu."
"Barangan penting lain seperti produk kebersihan dan bahan api juga tidak dibenarkan masuk oleh pihak berkuasa Israel," kata Encik Dujarric.
Beliau menegaskan bahawa bantuan itu masih terkandas walaupun lori telah dimuatkan dan bersedia untuk bergerak.
“Sehingga tengah hari Rabu (waktu tempatan), tiada maklumat yang diterima oleh rakan sekerja kami di Baitulmakdis bahawa trak bantuan telah keluar dari Kerem Shalom,” katanya.
Encik Dujarric menyifatkan situasi itu sebagai “berubah-ubah” dan menegaskan bahawa PBB akan terus berunding dengan Israel "bagi mengenal pasti laluan terbaik keluar dari Kerem Shalom ke Gaza untuk memastikan aliran bantuan tidak terganggu atau terhenti."
Namun katanya, adalah penting untuk menekankan bahawa bekalan yang sedikit dan baru sahaja dibenarkan masuk ke Kerem Shalom masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan di Gaza yang sangat besar dan mendesak.
"Lebih banyak bantuan perlu dibawa masuk," katanya.
Menurut Encik Dujarric, "pengeboman dan serangan udara Israel masih berterusan di seluruh Carikan Gaza. Hari ini, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan puluhan orang terkorban dalam tempoh 24 jam lalu dan semalam kementerian itu mengeluarkan rayuan segera agar orang ramai menderma darah untuk mereka yang sakit dan cedera."
Memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), beliau berkata "80 peratus kawasan di Carikan Gaza kini tertakluk kepada arahan pemindahan paksa atau terletak dalam zon ketenteraan Israel. Zon-zon ini memerlukan pasukan bantuan untuk menyelaraskan pergerakan mereka dengan pihak berkuasa keselamatan Israel."
“Pemindahan paksa penduduk Gaza yang berterusan ini memberi tekanan hebat ke atas pasukan bantuan kemanusiaan, khususnya apabila tiada makanan dan barangan keperluan asas dibenarkan masuk,” katanya.
Beliau berkata keadaan tempat perlindungan amat daif dengan tapak perlindungan, bangunan kediaman serta kemudahan sementara yang terlalu sesak, tidak sesuai didiami atau musnah.
“Orang ramai terpaksa tinggal sementara di bangunan yang terbiar, tidak siap dibina, musnah atau rosak. Ada juga yang tidur di kawasan terbuka,” katanya.
Encik Dujarric melaporkan bahawa perkhidmatan kesihatan kini lumpuh akibat serangan berterusan Israel ke atas kemudahan perubatan.
“Awal hari ini, Hospital Al Awda -- satu-satunya hospital yang sebahagiannya berfungsi di wilayah utara Gaza dan masih merawat beberapa pesakit -- telah diserang. Semalam, Hospital Kamal Adwan telah menghentikan operasinya,” katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.