Skip to main content

Dunia

Tiada aduan harga barangan melampau sepanjang Aidilfitri

Anggaran Waktu Membaca:

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Malaysia tidak menerima sebarang aduan dan rungutan berhubung isu kenaikan harga barangan melampau sepanjang Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2023 dilaksanakan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub berkata hasil maklumat dan pemantauan oleh pihak penguatkuasaan mendapati rata-rata pengguna, malah peniaga turut berpuas hati dengan skim harga itu.

“Setakat ini, tidak ada langsung aduan atau bantahan daripada pengguna berkenaan harga barang naik atau pelanggaran harga maksimum yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui para pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi di Sri Satria, Putrajaya pada Ahad (30 Apr). 

Encik Salahuddin berkata kerjasama KPDN dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, media serta agensi-agensi berkaitan membantu pihaknya membuat pemantauan harga dengan lebih berkesan. 

“Contohnya beberapa hari sebelum hari raya, media ada melaporkan bakal ada kekurangan telur di Kelantan dan Terengganu, pegawai saya turun padang untuk menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan, langsung berlaku lambakan telur di dua negeri itu. 

“Jadi tiada langsung masalah semasa musim perayaan ini, namun pemantauan dan kawalan terhadap harga barangan terutamanya barangan keperluan akan diteruskan,” katanya.

Pada 12 April lalu, sebanyak 30 jenis barangan ditetapkan menerusi SHMMP 2023 yang bermula pada 15 April dan berakhir pada 30 April. 

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita