Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Thomas dakwa saman Najib terhadapnya, kerajaan bermotif politik

Bekas Peguam Negara Malaysia Tommy Thomas mendakwa saman yang difailkan Najib Razak terhadapnya dan kerajaan atas dakwaan salah guna kuasa ketika mendakwa bekas perdana menteri itu dalam beberapa kes, adalah atas tujuan politik.

Anggaran Waktu Membaca:
Thomas dakwa saman Najib terhadapnya, kerajaan bermotif politik

Bekas Peguam Negara Malaysia, Tommy Thomas. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 26 Nov 2021 04:30PM Dikemas Kini : 26 Nov 2021 04:32PM

KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara Malaysia Tommy Thomas mendakwa saman yang difailkan Najib Razak terhadapnya dan kerajaan atas dakwaan salah guna kuasa ketika mendakwa bekas perdana menteri itu dalam beberapa kes, adalah atas tujuan politik.

Menerusi afidavit sokongan bagi membatalkan saman bekas perdana menteri itu, Encik Thomas berkata beliau percaya yang Encik Najib memfailkan saman itu untuk digunakan dalam kempen menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini dan juga untuk Pilihan Raya Umum yang akan datang, yang perlu diadakan pada pertengahan 2023.

Encik Thomas, 69 tahun, berkata perkara ini dibuktikan dengan fakta bahawa pertuduhan ini hanya dibangkitkan oleh Encik Najib buat kali pertamanya, walaupun beliau telah didakwa dalam kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada September 2018 serta kes pengubahan wang haram pada 2019.

Beliau mendakwa, Encik Najib tidak pernah membangkitkan sebarang dakwaan ‘pendakwaan jahat’ sebagai sebahagian daripada pembelaannya dalam kes SRC International Sdn Bhd dan kes 1MDB yang sedang berjalan.

Encik Thomas adalah Peguam Negara dari 4 Jun 2018 sehingga 28 Feb 2020 berkata, empat kes jenayah Encik Najib masih belum selesai di Mahkamah Tinggi dan oleh sebab itu Encik Najib masih kekal sebagai orang yang dituduh.

Encik Thomas mendakwa sebagai seorang Pendakwa Raya, beliau tidak bertanggungjawab menjaga orang yang didakwa seperti Encik Najib, antara lain kerana sistem adversarial di bawah undang-undang Malayia.

Beliau berkata jika saman itu tidak dibatalkan, tetapi perbicaraan diadakan atas pertimbangan pembuktian sivil, ia akan menyebabkan kes Encik Najib akan dibicarakan semula sementara kes jenayah (dengan bebanan yang lebih tinggi) sedang berjalan.

“Ini tidak mampan dalam undang-undang. Ia juga bertentangan dengan kepentingan awam,” katanya lagi.

Encik Thomas berkata dalam saman itu, Encik Najib juga mendakwa yang dirinya (Thomas) telah membuat prasangka terhadap kesnya, sebelum membuat keputusan untuk mendakwanya serta campur tangan dalam penyiasatan.

“Apabila setiap kertas siasatan (IP) berkaitan Najib diserahkan kepada saya, saya berpuas hati bahawa terdapat kes yang kukuh terhadapnya. Saya melihat IP itu sebaik mungkin, membincangkannya dengan pegawai berkaitan di pejabat Pendakwa Raya (PP) dan kemudiannya secara jujur membuat keputusan untuk mendakwa Najib.

“Sehubungan itu, dakwaan dalam penyataan tuntutan yang menyatakan bahawa saya membuat keputusan untuk mendakwa beliau walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemui sebarang salah laku, adalah dinafikan.

Sama ada saya atau mana-mana kakitangan daripada pejabat PP masuk campur dalam siasatan SPRM terhadap Najib yang menyebabkan pendakwaan dilakukan. Siasatan dilakukan secara bebas oleh SPRM,” kata Encik Thomas.

Beliau berkata, dakwaan plantif bertujuan untuk mengganggu dan menakut-nakutkan beliau kerana telah menjalankan tugasnya sebagai Peguam Negara dan Pendakwa Raya dan telah menggunakan budi bicaranya di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk mendakwa beliau (Najib).

Pada 22 Okt Encik Najib memfailkan saman terhadap Encik Thomas berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa untuk mendakwanya dalam kes 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, dan menuntut ganti rugi lebih RM1.9 juta (S$614,490).

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Encik Thomas dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Beliau mendakwa, pada 2015, Encik Thomas telah bertemu dengan Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan kesalahan-kesalahan dan salah urus yang kononnya dilakukan kepada dana 1MDB dan turut menasihati Dr Mahathir supaya mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadap Najib berhubung penglibatannya dalam 1MDB.

Mahkamah Tinggi menetapkan 19 Jan 2022 untuk pengurusan kes.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan