Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Theresa May minta Brexit ditangguh lagi; Presiden Majlis EU saran tempoh fleksibel 12 bulan

Perdana Menteri Britain Theresa May pada Jumaat (5 Apr) meminta Kesatuan Eropah (EU) untuk menangguhkan lagi pengunduran negara itu dari EU sehingga ke 30 Jun atau lebih awal jika perjanjian Brexit diluluskan parlimen.

Anggaran Waktu Membaca:
Theresa May minta Brexit ditangguh lagi; Presiden Majlis EU saran tempoh fleksibel 12 bulan

(Gambar: AFP/Daniel LEAL-OLIVAS)

Diterbitkan : 05 Apr 2019 05:49PM Dikemas Kini : 05 Apr 2019 05:50PM

LONDON: Perdana Menteri Britain Theresa May pada Jumaat (5 Apr) meminta Kesatuan Eropah (EU) untuk menangguhkan lagi pengunduran negara itu dari EU sehingga ke 30 Jun atau lebih awal jika perjanjian Brexit diluluskan parlimen.

"United Kingdom menyarankan agar ia (lanjutan kepada tarikh akhir) luput pada 30 Jun 2019. Jika pihak-pihak terlibat dapat mengesahkannya sebelum tarikh ini, kerajaan mengusulkan agar tempoh ini ditamatkan lebih awal," tulis Cik may dalam suratnya kepada Presiden Majlis EU Donald Tusk.

Dalam suratnya, Cik May berkata beliau ingin memastikan Britain meninggalkan EU dengan cara yang teratur, bersama dengan perjanjian yang dapat meleraikan sebarang kerumitan politik, isu keselamatan, hubungan diplomatik dan ekonomi.

"Dasar kerajaan sebelum ini, dan akan sentiasa kekal, adalah untuk meninggalkan EU secara teratur dan tanpa sebarang penangguhan yang tidak wajar," tulis Cik May.

"Kerajaan bersetuju bahawa pengunduran dengan perjanjian yang dimeterai adalah cara terbaik."

DONALD TUSK SARAN TEMPOH TUNDA FLEKSIBEL

Menurut seorang pegawai kanan EU, Encik Tusk akan menyarankan kepada negara-negara anggota pada Jumaat untuk menawarkan tempoh fleksibel selama 12 bulan bagi penangguhan Brexit supaya negara itu dapat bersiap sedia untuk meninggalkan perkumpulan itu secara teratur.

"Ini idea Tusk," menurut seorang pegawai kanan EU kepada AFP yang mengesahkan laporan media. "Ia akan dibentangkan di hadapan negara-negara anggota."

Setakat ini, Britain dijadual meninggalkan EU pada tengah malam 12 April. Tarikh akhir ini sudah ditunda sekali daripada tarikh asal 29 Mac kerana kegagalan parlimen Britain sebanyak tiga kali untuk mempersetujui perjanjian perpisahan yang ditandatangani Cik May dengan 27 pemimpin lain EU pada Disember. 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan