Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Thaksin masih perlu jalani hukuman penjara jika pulang ke tanah air, kata Timbalan PM Thailand

Anggaran Waktu Membaca:

BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra, masih perlu menjalani hukuman penjara jika pulang ke tanah air, tegas Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kehakiman Wissanu Krea-ngam.

Beliau berkata, Encik Thaksin berkemungkinan akan menghadapi tiga senario undang-undang yang berbeza, termasuk menjalani hukuman di mana mahkamah mendapati beliau bersalah, menunggu keputusan kes yang masih berjalan dan keputusan mahkamah mendapati beliau tidak bersalah.

Encik Wissanu bagaimanapun menafikan Encik Thaksin akan diletakkan di bawah tahanan rumah.

Encik Thaksin perlu berada dalam tahanan sebelum memohon ikat jamin semasa proses rayuan, seperti banduan lain, katanya semasa menjawab mengenai kemungkinan Encik Thaksin akan pulang ke tanah air pada Julai.

"Banduan mesti dihantar ke pusat tahanan dan tahanan rumah bukanlah alternatif yang dibenarkan," katanya pada Selasa (9 Mei). 

Ketika ditanya kemungkinan Encik Thaksin memohon pengampunan diraja, Encik Wissanu berkata banduan mesti menjalani sekurang-kurangnya lapan tahun atau satu pertiga daripada tempoh penjara mereka.

Pada Selasa, dalam ciapan di Twitter melalui @ThaksinLive, Encik Thaksin berkata: “Saya memohon kebenaran sekali lagi. Saya telah memutuskan untuk pulang ke rumah untuk menjaga cucu saya pada Julai, sebelum hari lahir saya.

“Sudah 17 tahun saya berpisah dengan keluarga. Saya sudah tua,” menurut ciapannya.

‘Keinginannya’ untuk pulang disuarakan beberapa hari sebelum Pilihan Raya Umum Thailand pada Ahad (14 Mei) di mana partinya Pheu Thai Party dijangka menang. 

Anak perempuan bongsunya Paetongtarn Shinawatra adalah seorang daripada tiga calon perdana menteri.

Dalam ciapan berasingan, beliau berkata kepulangannya tidak akan membebankan Parti Pheu Thai.

“Saya akan menjalani proses undang-undang, ketika itu negara ini dipimpin oleh kerajaan sementara Prayuth.

"Ia adalah keputusan saya sendiri kerana cinta dan ikatan kekeluargaan dan tanah air saya," kata Encik Thaksin.

Encik Thaksin, yang berkhidmat sebagai perdana menteri dari 2001 hingga 2006, hidup dalam buangan sejak 2008 dan menghabiskan sebahagian besar masanya di Dubai selepas kerajaannya digulingkan oleh rampasan kuasa tentera yang diketuai oleh Jeneral Sonthi Boonyaratglin.

Beliau meninggalkan Thailand pada Ogos 2008 untuk mengelak daripada berdepan hukuman penjara. 

Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman penjara dua tahun tanpa kehadirannya kerana salahguna kuasa.

Encik Thaksin menyatakan hasrat untuk kembali ke Thailand bagi menjaga cucunya pada 1 Mei, selepas Cik Paetongtarn, 36 tahun, melahirkan anak keduanya.

Pakar berkata kenyataan Thaksin untuk pulang ke tanah air dilihat sebagai langkah politik bertujuan meraih sokongan kepada parti Pheu Thai.

Ketika diminta mengulas mengenai tweet terbaru Encik Thaksin untuk kembali ke Thailand, Encik Prayuth berkata "terpulang kepadanya dan sistem keadilan".

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan