Thailand yakin ASEAN akan terus berkembang
Sebagai kumpulan serantau, ASEAN pastinya akan terus berkembang dan pada masa yang sama perlu, menumpukan tumpuan kepada kesalinghubungan dan usaha untuk menghapuskan halangan bukan tarif (NTB), kata Duta Besar Thailand ke Malaysia, Narong Sasitorn.

Gambar fail bendera ASEAN dan bendera negara-negara anggota ASEAN. (Gambar: Remeo Gacad/AFP)
KUALA LUMPUR: Sebagai kumpulan serantau, ASEAN pastinya akan terus berkembang dan pada masa yang sama perlu, menumpukan tumpuan kepada kesalinghubungan dan usaha untuk menghapuskan halangan bukan tarif (NTB), kata Duta Besar Thailand ke Malaysia, Narong Sasitorn.
Duta besar Thai itu berkata ASEAN perlu berusaha menghapuskan NTB untuk ekonomi yang lancar. Mengikut sistem penggiliran, Thailand menjadi pengerusi ASEAN tahun ini.
Meskipun perjanjian perdagangan bebas melalui Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas (AFTA) dicapai, tarif purata di negara ASEAN masih pada 4.5 peratus. Bagaimanapun, ia masih dianggap pencapaian besar jika dibandingkan dengan 8.9 peratus pada 2000.
"Kami akan teruskan apa yang kami mahu lakukan. Pastinya, ASEAN akan terus berkembang dan mungkin usaha akan dipertingkatkan mengenai kesalinghubungan dan menghapuskan NTB," kata Encik Narong kepada agensi berita Bernama baru-baru ini.
Beliau ditemui selepas program "Friends of Thailand Circle Talk Series: Navigating ASEAN in a Turbulent World".
Program yang diadakan buat julung-julung kalinya itu dianjurkan oleh Kedutaan Thailand. Ia bertujuan mempromosikan pemahaman yang lebih baik mengenai pertubuhan serantau 10 negara itu.
Mengenai kesalinghubungan, Encik Narong berkata ia memerlukan masa memandangkan jurang perbezaan pembangunan antara negara anggota.
Menyentuh mengenai isu Laut China Selatan pula, duta itu berkata walaupun ia mengenai pertikaian wilayah, ia juga melibatkan keamanan dan kestabilan rantau ini.
"Atas faktor itu, saya rasa ASEAN perlu bersuara dan memainkan peranannya untuk memastikan keamanan dan kestabilan di rantau ini," katanya.
ASEAN ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 oleh Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Filipina bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial dan pembangunan budaya di rantau Asia Tenggara melalui kerjasama pelbagai hala.
Hari ini, ASEAN turut merangkumi Brunei, Myanmar, Kemboja, Laos dan Vietnam, dan mempunyai gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar bernilai AS$2.8 trilion (S$3.8 trilion). Ia adalah pasaran ketiga terbesar, dihuni lebih 600 juta orang dengan peningkatan penduduk kelas pertengahan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.