Skip to main content

Dunia

Thailand tuntut Kemboja mohon maaf susuli kejadian periuk api

Thailand menuntut permohonan maaf daripada Kemboja selepas menuduh negara itu menanam periuk api baharu yang mencederakan beberapa askar Thailand, menurut seorang pegawai Kementerian Luar pada Rabu (12 Nov), sehari selepas Bangkok menggantung perjanjian gencatan senjata yang diusahakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Anggaran Waktu Membaca:
Thailand tuntut Kemboja mohon maaf susuli kejadian periuk api
Seorang askar Kemboja berjalan melepasi sebuah bangunan yang rosak akibat serangan artileri, semasa lawatan oleh delegasi diplomat asing untuk meninjau kawasan yang terjejas di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja pada 1 Ogos 2025. (Gambar fail: REUTERS/Soveit Yarn)
Diterbitkan : 12 Nov 2025 05:24PM
  • Thailand menuntut permohonan maaf daripada Kemboja selepas menuduh negara itu menanam periuk api baharu yang mencederakan beberapa askar Thailand, menurut seorang pegawai Kementerian Luar pada Rabu (12 Nov), sehari selepas Bangkok menggantung perjanjian gencatan senjata yang diusahakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
  • Kemboja menafikan dakwaan bahawa ia menanam periuk api baharu, termasuk yang meletup pada Isnin dan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang askar Thailand yang sedang melakukan rondaan di kawasan sempadan yang dipertikaikan antara kedua-dua negara itu, sekaligus mencetuskan semula ketegangan menyusuli konflik selama lima hari pada Julai.
  • “Kami mahu pihak Kemboja mengeluarkan permohonan maaf,” kata jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura kepada para wartawan.
  • Jurucakap pemerintah Kemboja enggan mengulas mengenai tuntutan yang dibuat Thailand itu.
Dijana oleh AI
BANGKOK: Thailand menuntut permohonan maaf daripada Kemboja selepas menuduh negara itu menanam periuk api baharu yang mencederakan beberapa askar Thailand, menurut seorang pegawai Kementerian Luar pada Rabu (12 Nov), sehari selepas Bangkok menggantung perjanjian gencatan senjata yang diusahakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Kemboja menafikan dakwaan bahawa ia menanam periuk api baharu, termasuk yang meletup pada Isnin dan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang askar Thailand yang sedang melakukan rondaan di kawasan sempadan yang dipertikaikan antara kedua-dua negara itu, sekaligus mencetuskan semula ketegangan menyusuli konflik selama lima hari pada Julai.

Pertempuran itu berakhir selepas Encik Trump membuat panggilan telefon kepada para pemimpin Thailand dan Kemboja, yang turut menyaksikan beliau mempengerusikan pemeteraian perjanjian gencatan senjata yang dipertingkat di Malaysia pada bulan lalu.

Sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh dan dianggarkan lagi 300,000 orang terpaksa berpindah buat sementara waktu semasa pertempuran tersebut, yang menyaksikan kedua-dua pihak berbalas serangan roket, artileri berat dan serangan udara.

“Kami mahu pihak Kemboja mengeluarkan permohonan maaf,” kata jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura kepada para wartawan.

“Kami meminta mereka menjalankan siasatan untuk mengetahui apa yang berlaku dan siapa yang bertanggungjawab, dan dengan itu, kami juga meminta mereka untuk melaksanakan langkah-langkah bagi mengelak kejadian seperti ini daripada berulang di masa hadapan.”

Jurucakap pemerintah Kemboja enggan mengulas mengenai tuntutan yang dibuat Thailand itu.

Pada Selasa, Kementerian Pertahanan Kemboja menafikan pihaknya menanam periuk api baharu dan menyatakan ia komited untuk bekerjasama dengan Bangkok selaras dengan perjanjian tersebut.

Letupan periuk api di sepanjang kawasan sempadan yang dipertikaikan itu merupakan antara punca tercetusnya pertempuran di kawasan sempadan, dengan sekurang-kurangnya tujuh askar Thailand cedera parah dalam beberapa kejadian berkaitan periuk api sejak 16 Julai.

Menurut laporan Reuters, beberapa periuk api tersebut berkemungkinan besar ditanam baru-baru ini, berdasarkan analisis para pakar terhadap bahan yang dikongsi oleh tentera Thailand.

Selama lebih satu abad, kedua-dua negara jiran di Asia Tenggara itu bertelingkah mengenai kedaulatan titik-titik sempadan darat sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan, yang pertama kali dipetakan pada 1907 oleh Perancis semasa ia menguasai Kemboja sebagai tanah jajahan.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita