Skip to main content

Dunia

Thailand tegaskan perbuatan tunggang bagasi bermotor di jalan raya tidak dibenarkan

Anggaran Waktu Membaca:
Thailand tegaskan perbuatan tunggang bagasi bermotor di jalan raya tidak dibenarkan

Seorang pelancong China dilihat santai bermain telefon, tanpa memakai topi keledar, sambil bagasi yang dinaikinya bergerak laju di jalan raya Bangkok. (Petikan gambar: Social Hunter 2022/Facebook)

BANGKOK: Polis Bahagian Trafik Thailand menegaskan bahawa perbuatan menaiki atau menunggang beg pakaian bermotor (bagasi pintar) di jalan raya menyalahi undang-undang.

Amaran itu dikeluarkan pada minggu lalu selepas tular satu video seorang wanita sedang menaiki bagasi bermotor di Jalan Vibhavadi Rangsit berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang.

Beliau dilihat santai bermain telefon, tanpa memakai topi keledar, sambil bagasi yang dinaikinya bergerak laju di jalan raya.

Video yang dimuat naik ke akaun Facebook pengguna Social Hunter 2022 itu mengundang kritikan ramai yang menarik perhatian kepada sikap tidak peka pengguna terbabit terhadap keselamatan di jalan raya awam.
Ada juga yang mempertikaikan mengapa pegawai polis tidak menahan pengguna jalan raya tersebut sedangkan perbuatannya boleh menyebabkan kemalangan.

Siasatan mendapati wanita dalam video terbabit adalah seorang pelancong China yang sudah meninggalkan negara pada 22 Ogos lalu.

Sekalipun demikian, polis Thailand menjelaskan, mengikut Akta Kenderaan dan Akta Trafik Jalan Raya 1979, beg pakaian (bagasi) tidak dianggap sebagai kenderaan. Ia juga tidak boleh didaftarkan sebagai kenderaan dan digunakan secara sah di jalan raya awam.

Menggunakan objek bukan kenderaan di jalan raya awam dianggap 'menghalang lalu lintas', melanggar Akta Trafik Jalan Raya, tambah polis.
Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita