Skip to main content

Dunia

Thailand tawar Lapangan Terbang Don Mueang untuk hantar bantuan ke Myanmar

Anggaran Waktu Membaca:
Thailand tawar Lapangan Terbang Don Mueang untuk hantar bantuan ke Myanmar

(Gambar: AFP/Jack TAYLOR)

Diterbitkan : 05 Apr 2025 09:07PM Dikemas Kini : 05 Apr 2025 09:09PM
BANGKOK: Thailand menawarkan penggunaan Lapangan Terbang Don Mueang untuk memudahkan penghantaran bantuan antarabangsa kepada Myanmar susulan gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada 28 Mac lalu.

Kementerian Luar Thailand dalam kenyataan memaklumkan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra menyampaikan tawaran itu di mesyuarat dua hala dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing yang berada di Bangkok bagi menghadiri Sidang Kemuncak Inisiatif Teluk Bengal bagi Kerjasama Teknikal dan Ekonomi Pelbagai Sektor (BIMSTEC) ke-6 pada Jumaat (4 Apr).

"Beliau mengesahkan kesediaan Thailand untuk memberikan kedua-dua bantuan kemanusiaan segera dan sokongan jangka panjang bagi usaha pemulihan. Perdana Menteri Thailand juga menawarkan penggunaan Lapangan Terbang Don Mueang bagi menyokong mobilisasi bantuan antarabangsa kepada Myanmar, sebagai pelengkap kepada usaha Myanmar," menurut Kementerian Luar Thailand pada Sabtu (5 Apr).

Cik Paetongtarn turut mengucapkan takziah atas kejadian gempa bumi di Myanmar yang mengorbankan banyak nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda yang besar.  

Setakat Jumaat, angka korban akibat gempa bumi berukuran 7.7 magnitud di Myanmar meningkat kepada 3,145 orang, dengan 4,589 lagi cedera dan 221 masih dilaporkan hilang.  

Beberapa wilayah termasuk Mandalay, Bago, Magway, negeri Shan di timur laut, Sagaing dan Nay Pyi Taw turut terjejas teruk.  

Mengenai pertemuan itu, Kementerian Luar Thailand berkata kedua-dua pemimpin menyambut baik hubungan erat serta komunikasi berterusan antara angkatan bersenjata kedua-dua negara di semua peringkat.  

"Kedua-dua pihak komited untuk meningkatkan penyelarasan bagi menggalakkan keselamatan dan perdagangan sempadan di bawah konsep mengubah 'medan pertempuran menjadi pasaran'. Kedua-dua negara juga akan bekerjasama memerangi jenayah rentas sempadan, dengan tumpuan khusus untuk membanteras penipuan dalam talian dan penyeludupan dadah," tambahnya.

Kementerian itu berkata Perdana Menteri Thailand turut menyatakan kesediaan untuk berkongsi kepakaran dalam bidang pertanian moden dan penternakan dengan komuniti Myanmar di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar, seperti yang diminta oleh Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar itu.  

"Kerjasama ini akan membantu meningkatkan produktiviti pertanian, menyediakan pendapatan stabil untuk petani Myanmar dan menggalakkan amalan pertanian mesra alam, yang sekali gus dapat mengurangkan masalah jerebu rentas sempadan akibat aktiviti pembakaran terbuka," katanya.  
 
Sumber : Bernama/HA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita