Thailand tamatkan operasi mencari di tapak bangunan pencakar langit yang runtuh akibat gempa bumi
Thailand secara rasmi menamatkan operasi mencari dan menyelamat di lokasi sebuah bangunan pencakar langit yang belum siap di Bangkok, yang runtuh akibat gempa bumi pada 28 Mac lalu dan mengorbankan sebilangan pekerja binaan, kata gabenor bandar itu pada Selasa (13 Mei).

Anggota penyelamat menjalankan operasi di tapak runtuhan sebuah bangunan susulan gempa bumi kuat di Bangkok, Thailand pada 29 Mac 2025. (Gambar fail: REUTERS/Patipat Janthong)
Menara Pejabat Audit Negara setinggi 30 tingkat itu merupakan satu-satunya bangunan di ibu kota Thailand itu, yang runtuh akibat gempa bumi bermagnitud 7.7 yang melanda bahagian tengah Myanmar, kira-kira 1,020km dari Bangkok.
Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca bangunan itu runtuh dengan mudah sedangkan bangunan lain di seluruh bandar tersebut tidak terjejas.
Gempa bumi dan gegaran berskala besar jarang berlaku di Thailand, dan kejadian itu mencetuskan rasa cemas dalam kalangan penduduk serta melumpuhkan bandar itu.
Pihak berkuasa menemui 89 mayat daripada timbunan runtuhan itu, manakala tujuh lagi masih hilang dalam salah satu bencana paling dahsyat di Thailand, yang meragut nyawa 96 orang. Di Myanmar, lebih 3,700 orang terkorban.
Operasi selama enam minggu di Bangkok itu melibatkan ratusan anggota, termasuk pasukan penyelamat antarabangsa, yang menjalankan usaha mencari sepanjang hari dengan bantuan anjing pengesan serta jentera berat. Operasi itu disukarkan lagi oleh skala dan timbunan runtuhan yang berat.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu,” kata Gabenor Bangkok, Chadchart Sittupunt, kepada para wartawan. “Ini adalah satu malapetaka yang mengubah hidup ramai orang dan satu pengajaran penting.”
Setakat ini, pihak berkuasa telah mengenal pasti 86 mangsa yang terkorban, manakala ujian forensik sedang dijalankan ke atas 100 daripada 313 cebisan mayat yang ditemui di lokasi kejadian, menurut pihak polis.
Siasatan kini tertumpu kepada pihak yang terlibat dalam pembinaan bangunan itu, yang dimulakan pada 2020.
Sebuah badan pemantau anti-rasuah Thailand menyatakan bahawa ia telah memaklumkan pihak berkuasa tentang beberapa perkara mencurigakan yang dikesan dalam pembinaan bangunan itu sebelum ia runtuh. Para pegawai industri pula mengatakan bahawa ujian awal ke atas bahan-bahan yang digunakan di tapak binaan itu menunjukkan kewujudan bahan keluli bermutu rendah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.