Skip to main content

Dunia

Thailand siap sedia hadapi ribut tropika Wipha

Thailand kini bersiap sedia menghadapi ribut tropika Wipha yang diramal merentasi wilayah utara negara itu dalam beberapa hari akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:
Thailand siap sedia hadapi ribut tropika Wipha

Keadaan cuaca di Vietnam susulan Taufan Wipha yang kini sudah melemah kepada ribut tropika. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 23 Jul 2025 04:36PM
BANGKOK: Thailand kini bersiap sedia menghadapi ribut tropika Wipha yang diramal merentasi wilayah utara negara itu dalam beberapa hari akan datang.

Timbalan Jurucakap Pejabat Perdana Menteri Thailand, Anukool Pruksanusak berkata orang ramai diingatkan agar bersiap sedia menghadapi kemungkinan gangguan akibat cuaca buruk, termasuk penutupan sekolah serta-merta di kawasan yang terjejas.

“Kerajaan menekankan kepentingan keselamatan orang ramai. Sila bersedia menghadapi situasi ini, ambil perhatian terhadap amaran yang dikeluarkan dan ikuti arahan agensi kerajaan bagi mengurangkan impak serta mencegah sebarang kerugian,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi Kerajaan Thailand pada Rabu (23 Jul).

Beliau berkata, Kementerian Pertanian diarahkan untuk mengambil langkah mengurangkan kesan terhadap sektor pertanian.

Encik Anukool turut memaklumkan bahawa Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran mengenai ribut tropika Wipha yang dijangka melemah.

Beliau menegaskan bahawa ribut itu dijangka membawa hujan lebat ke banyak kawasan di Thailand, terutamanya di wilayah utara, bahagian timur laut, kawasan barat wilayah tengah serta timur negara itu, dengan hujan berterusan dijangka sehingga 24 Julai.

“Kerajaan menyeru penduduk di kawasan terjejas agar berwaspada terhadap risiko hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir kilat dan limpahan air sungai, terutama di kawasan kaki bukit, berhampiran saliran air serta kawasan rendah,” kata beliau.

Setakat Selasa, ribut tropika Wipha sudah mengakibatkan hujan lebat dan banjir di Filipina, menyebabkan lima kematian dan beribu-ribu penduduk terpaksa dipindahkan.

Sejak 20 Julai, hujan lebat yang dikaitkan dengan monsun barat daya itu sudah menjejaskan sebahagian besar kawasan di Luzon, Visayas dan Mindanao, termasuk Metro Manila.

Di Vietnam pula, ribut itu dijangka membawa hujan lebat ke kawasan utara, dengan pihak berkuasa tempatan mengeluarkan amaran awal terhadap risiko banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan rendah dan pergunungan.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita