Skip to main content

Dunia

Thailand siap sedia berdepan kemungkinan penduduk lari tinggalkan Myanmar

Thailand siap sedia berdepan kemungkinan rakyat Myanmar melarikan diri ke negara jiran susulan peningkatan keganasan akibat kekerasan pihak berkuasa untuk menghentikan bantahan anti rampasan kuasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Thailand siap sedia berdepan kemungkinan penduduk lari tinggalkan Myanmar

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 12 Mar 2021 08:18AM Dikemas Kini : 12 Mar 2021 08:23AM

BANGKOK: Thailand siap sedia berdepan kemungkinan rakyat Myanmar melarikan diri ke negara jiran susulan peningkatan keganasan akibat kekerasan pihak berkuasa untuk menghentikan bantahan anti rampasan kuasa.

Jurucakap Kementerian Luar (MFA) Thailand, Tanee Sangrat berkata, agensi keselamatan dan pihak berkuasa wilayah di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar sudah siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Mereka telah mengambil langkah menyiapkan kemudahan yang perlu. Setakat ini, tiada orang yang menyeberangi sempadan untuk mencari suaka di Thailand,” katanya pada sidang media mingguan kementerian, di sini, pada Khamis (11 Mac).

Media tempatan melaporkan pihak berkuasa wilayah Chiang Rai, utara Thailand sudah memintas sekumpulan lapan warga Myanmar - empat lelaki termasuk dua sami dan empat wanita - menyeberang dari bandar sempadan Myanmar, Tachileik ke Thailand.

Encik Tanee berkata kumpulan itu didapati tidak melarikan diri dari Myanmar kerana keadaan politik.

Sementara itu, MFA berkata sebagai negara jiran terdekat yang berkongsi sempadan, Thailand mengikuti rapat perkembangan di Myanmar, prihatin dan sedih dengan korban nyawa dan penderitaan rakyat.

Mengenai situasi di Myanmar, MFA berkata Thailand menyokong kenyataan Pengerusi ASEAN, Brunei Darussalam, yang meminta semua pihak di Myanmar untuk mengelak mengambil langkah yang agresif.

"Kami menyeru ketegangan ditamatkan dan tahanan dibebaskan. Kami juga mendesak semua pihak yang terlibat mencari jalan penyelesaian secara aman untuk negara dan rakyat Myanmar,” katanya.

Thailand turut menyokong kesediaan ASEAN membantu Myanmar.

Tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa pada 1 Februari dan menahan Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi, Presiden Win Myint, dan pemimpin kanan Liga Demokratik Kebangsaan (NLD).

Junta mengisytiharkan perintah darurat selama setahun dan berjanji "mengambil tindakan" terhadap tuduhan penipuan undi dalam pilihan raya umum 8 November, yang dimenangi NLD.

Bantahan jalanan bertukar ganas yang menyaksikan pada 4 Mac lalu seramai 38 orang terbunuh.  

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita