Thailand seru diplomasi susuli serangan 'luar biasa' mantan PM Kemboja
Kementerian Luar Thailand berkata pada Jumaat (27 Jun) bahawa ia terkejut dengan serangan terbuka yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap Perdana Menteri Thailand dan keluarganya oleh bekas pemimpin berpengaruh Kemboja, Hun Sen. Namun, ia menekankan peri pentingnya diplomasi untuk menghuraikan pertikaian dua hala yang semakin meruncing.
PM Thailand Paetongtarn Shinawatra bercakap kepada pegawai pentadbiran pada 26 Jun 2025. (Gambar: Reuters/Athit Perawongmetha)
Dalam penstriman langsung di Facebook selama lebih tiga jam, Encik Hun Sen mengecam Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra berhubung cara beliau mengendalikan pertikaian sempadan yang semakin meruncing antara kedua-dua negara jiran itu.
Encik Hun Sen, yang menjadi perdana menteri Kemboja selama hampir empat dekad sebelum berundur pada 2023, turut mengecam bapa Cik Paetongtarn, iaitu mantan perdana menteri Thaksin Shinawatra, yang sehingga baru-baru ini merupakan sekutunya yang rapat
"Ia mengejutkan kita, dan ia agak luar biasa dari segi norma diplomatik," kata jurucakap Kementerian Luar Thailand Nikorndej Balankura kepada Reuters.
"Thailand menyediakan banyak peluang dan saya menegaskan pintu itu kekal terbuka walaupun selepas apa yang berlaku pagi ini."
Encik Hun Sen, yang kini presiden senat Kemboja dengan pengaruh yang kuat, menuduh Cik Paetongtarn memandang rendah dirinya dan anak lelakinya, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet.
Mengenai Encik Thaksin, yang berdepan kes mahkamah berhubung kesahihan tempoh penginapan beliau di hospital yang membolehkannya mengelak hukuman penjara, Encik Hun Sen berkata mantan PM Thailand itu hanya berpura-pura sakit.
"Thaksin tidak sakit," katanya. "Beliau hanya pura-pura sakit."
Cik Paetongtarn, 38 tahun, berdepan tekanan hebat dalam negara selepas perbualan telefon antara beliau dengan Encik Hun Sen dibocorkan, di mana beliau dilihat seolah-olah tunduk kepada ahli politik veteran Kemboja itu dan mengkritik seorang komander tentera Thailand.
Walaupun menghadapi kecaman secara terbuka oleh Encik Hun Sen, Thailand sedang berusaha mengadakan dialog antara menteri luar kedua-dua negara.
"Kami sedang mencari lokasi paling awal dan sesuai untuk kedua-dua pihak berbincang," kata Encik Nikorndej.
"Bercakap bagi pihak Kementerian Luar, kami merupakan penyokong kuat bagi huraian damai menerusi dialog."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.