Skip to main content

Dunia

Thailand sasar tarik 1 juta pelancong November-Mac 2022

Thailand menyasarkan menarik lebih sejuta pelancong bermula November hingga Mac susulan langkah kerajaan Malaysia mengecualikan perintah kuarantin kepada pengunjung dari 46 negara dan wilayah mulai 1 November.

Anggaran Waktu Membaca:
Thailand sasar tarik 1 juta pelancong November-Mac 2022

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 24 Oct 2021 05:40PM Dikemas Kini : 24 Oct 2021 05:42PM

BANGKOK: Thailand menyasarkan menarik lebih sejuta pelancong bermula November hingga Mac susulan langkah kerajaan Malaysia mengecualikan perintah kuarantin kepada pengunjung dari 46 negara dan wilayah mulai 1 November. 

Dalam satu kenyataan, jurucakap Kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) berharap dapat menyaksikan pemulihan berbentuk lekuk V.

"Diharapkan juga aktiviti pelancongan tahun depan menghasilkan sekurang-kurangnya 50 peratus dari pendapatan diperoleh pada 2019 (sekitar 2 trilion baht/S$80.8 bilion) dan setidak-tidaknya 80 peratus dari pendapatan yang diperoleh pada 2019 untuk tahun 2023," katanya dalam satu kenyataan.

Pada 2019, Thailand menerima hampir 40 juta pelawat asing yang membelanjakan 1.91 trilion baht (S$77.1 bilion).

Dalam usaha mengekang penularan COVID-19, Thailand mengenakan syarat kuarantin yang ketat.

Pada tahun lalu, ketibaan pelancong asing menyusut 83 peratus kepada 6.7 juta dan kutipan daripada perbelanjaan pelawat luar negara berjumlah 332 bilion baht (S$13.4 bilion).

Mulai 1 November, Thailand bakal menyambut kedatangan para pelawat yang lengkap divaksin COVID-19 dari 46 negara dan wilayah berisiko rendah termasuk Malaysia dan mereka dikecualikan daripada menjalani kuarantin.

Senarai negara itu dikeluarkan Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) dan akan dikemas kini pada 1 Disember dan 1 Januari.

Di bawah aturan perjalanan bebas kuarantin, pelancong lengkap divaksin yang tiba menerusi perkhidmatan udara dan diuji negatif COVID-19 bebas mengunjungi wilayah-wilayah lain di negara ini. 

Semua pelancong wajib membeli insurans perubatan dengan perlindungan minimum AS$50,000 (S$67,400) dan mempunyai keputusan ujian RT-PCR COVID-19 negatif dalam masa 72 jam sebelum melakukan perjalanan.

Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand merekodkan 9,351 kes baharu COVID-19 dan 56 kematian, menjadikan jumlah jangkitan di negara ini sebanyak 1,850,482 kes manakala korban seramai 18,755.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita