Thailand sahkan kes pertama mpox Clade 1b lebih berbahaya di Asia

Ketua Jabatan Kawalan Wabak Thailand berucap di satu sidang media menyusuli kes mpox pertama yang dikesan di Bangkok pada 21 Ogos 2024. (Gambar: Lillian Suwanrumpha/AFP)
Ia merupakan kes pertama seumpamanya di Asia.
Jabatan Kawalan Penyakit menyatakan ujian makmal ke atas warga Eropah berusia 66 tahun itu mengesahkan beliau dijangkiti virus mpox Clade 1b.
Ketua bagi Jabatan Kawalan Penyakit Thailand Thongchai Keeratihattayakorn berkata individu itu tiba di Thailand pada 14 Ogos lalu dari sebuah negara Afrika di mana virus itu sedang menular.
Individu itu kini dikuarantin di sebuah hospital.
"Jabatan Kawalan Penyakit Thailand ingin mengesahkan keputusan ujian makmal yang menunjukkan mpox Clade 1b pada seorang warga Eropah," kata jabatan itu dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan dimaklumkan mengenai perkembangan itu.
"Kami telah memantau 43 orang yang ada hubungan rapat dengan pesakit dan setakat ini mereka tidak menunjukkan gejala, tetapi kami mesti meneruskan pemantauan selama 21 hari."
Sesiapa yang melancong ke Thailand dari 42 "negara berisiko" mesti mendaftar dan menjalani ujian semasa ketibaan, kata jabatan itu.
Kes jangkitan mpox, atau sebelum ini dikenali sebagai cacar monyet, dan kematian akibat virus itu sedang melonjak di Afrika.
Penularan virus itu dilaporkan di Republik Demokratik Congo, Burundi, Kenya, Rwanda dan Uganda sejak Julai lalu.
Sungguhpun mpox sudah dikenali selama berdekad-dekad lamanya, jenis baharu virus itu yang lebih berbahaya dan lebih mudah merebak telah mendorong penularan kes baru-baru ini.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada minggu lalu mengisytiharkan mpox Clade 1b sebagai Kecemasan Kesihatan Awam dengan Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC).
Ia merupakan pengisytiharan kali kedua dalam tempoh dua tahun berikutan wabak yang bermula di Congo itu sudah merebak ke negara jiran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.