Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Thailand pantau 12 kontak rapat kes cacar monyet

Anggaran Waktu Membaca:
Thailand pantau 12 kontak rapat kes cacar monyet

Para pengunjung antarabangsa di Lapangan Terbang Antarbangsa Suvarnabhumi pada 1 November 2021. (Gambar: Lillian Suwanrumpha/AFP)

Diterbitkan : 30 May 2022 08:17PM Dikemas Kini : 30 May 2022 08:19PM

BANGKOK: Kementerian Kesihatan Awam Thailand memantau rapi 12 individu yang kini menjalani kuarantin. 

Mereka termasuk pramugari dan penumpang yang mungkin terdedah kepada seorang pesakit cacar monyet yang membuat persinggahan di negara itu.

Pengarah Bahagian Epidemiologi Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Chakkarat Pitayawonganon, berkata penumpang itu berada di lapangan terbang di Bangkok sebelum menaiki pesawat ke Australia di mana beliau kemudiannya disahkan positif cacar monyet.

“Sehingga kini, kesemua 12 individu itu tidak menunjukkan sebarang gejala sejak tujuh hari lalu. 

“Bagaimanapun, kami akan memantau dengan teliti untuk tempoh dua minggu lagi kerana tempoh inkubasi boleh mencecah sehingga 21 hari,” katanya.

Beliau menambah kes yang disahkan itu mengalami simptom cacar monyet ketika berada di Australia.

Sementara itu, Dr Chakkarat berkata tiada kes cacar monyet dikesan di Thailand setakat ini dan lima kes disyaki cacar monyet di Phuket sudahpun diuji negatif.

“Mereka dijangkiti virus herpes simplex (HSV) dan sedang menerima rawatan di Institut Penyakit Berjangkit Bamrasnaradura,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Pemuliharaan Taman Negara, Hidupan Liar dan Tumbuhan (DNP) telahpun meningkatkan pemeriksaan ke atas import hidupan liar di lapangan terbang dalam usaha membendung penularan cacar monyet.

Bangkok Post melaporkan DNP berusaha menyekat import haiwan liar sehingga langkah-langkah kawalan wabak cacar monyet dilaksanakan.

Pengarah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES), bahagian perlindungan haiwan liar dan tumbuhan, Prasert Sornsathapornkul berkata cacar monyet dimasukkan ke dalam senarai penyakit untuk pemeriksaan berkala ke atas monyet.

Kakitangan DNP diminta mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memakai sarung tangan dan alas kaki pelindung semasa melakukan pemeriksaan ke atas haiwan itu.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penularan wabak cacar monyet menimbulkan risiko sederhana kepada kesihatan awam global.

Sebanyak 257 kes disahkan dan 120 kes disyaki cacar monyet telahpun dilaporkan dari 23 negara, setakat 26 Mei, menurut WHO.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan