Thailand panggil pulang dutanya, usir wakil Kemboja dek ketegangan sempadan
Thailand memanggil pulang dutanya dari Kemboja dan akan mengusir duta Kemboja, menurut parti pemerintah Pheu Thai pada Rabu (23 Jul).
Seorang lelaki berjalan berhampiran pintu pagar yang ditutup di pusat pemeriksaan sempadan antarabangsa Poipet antara Kemboja dan Thailand, di bandar Poipet, wilayah Banteay Meanchey, pada 25 Jun 2025. (Gambar fail: AFP/Tang Chhin Sothy)
Ini menyusuli satu kejadian baharu melibatkan periuk api yang mencederakan seorang askar Thai di sepanjang sempadan yang dipertikaikan kedua-dua negara tersebut.
Kementerian Luar Thailand sudah mengemukakan bantahan rasmi kepada Kemboja, dengan menyatakan bahawa periuk api yang ditemui di kawasan berkenaan baru dipasang dan tidak pernah dikesan semasa rondaan terdahulu, menurut kenyataan parti itu di media sosial.
Pihak pemerintah Kemboja belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan bagi komen.
Menurut satu catatan Facebook oleh parti pemerintah Pheu Thai, Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, berkata bahawa negara itu sudah menurunkan tahap hubungan diplomatiknya dengan Kemboja dan akan menilai semula hubungan tersebut.
Catatan itu turut menyatakan bahawa kerajaan sudah mengarahkan penutupan semua pos pemeriksaan sempadan di bawah bidang kuasanya, serta melarang kemasukan pelancong secara ketat.
Kerajaan Thailand pada Ahad lalu mengecam negara jirannya itu kerana dipercayai meletakkan periuk api anti-kakitangan di sepanjang sempadan yang dikongsi kedua-dua negara itu.
Mantan pemimpin kedua-dua negara itu juga bertikam lidah, dengan mantan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, menyatakan bahawa beliau tidak berminat untuk berhubung dengan mantan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra.
Berhubung isu ketegangan di sempadan, Kementerian Luar Thailand pada Ahad menyatakan bahawa penggunaan periuk api tersebut merupakan satu pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan mencabul kedaulatan Thailand.
Kenyataan oleh jurucakap kementerian itu, Nikorndej Balankura, dikeluarkan selepas tiga askar Thailand cedera akibat letupan berhampiran kawasan sempadan Chong Bok di wilayah Ubon Ratchathani pada 16 Julai, menurut laporan The Nation.
Kenyataan itu turut menambah bahawa hasil siasatan pihak berkuasa Thailand mendapati periuk api yang digunakan dalam kejadian tersebut baru ditanam dan bukan sebahagian daripada senjata atau simpanan Thailand.
Tentera Kemboja dan Thailand sebelum ini saling melepaskan tembakan pada 28 Mei berhampiran Mom Bei – yang turut dikenali sebagai Segitiga Zamrud – yang mengakibatkan kematian seorang askar Kemboja.
Sejak itu, kedua-dua negara menghadapi ketegangan dari segi ketenteraan dan diplomatik, termasuk penambahan bilangan anggota tentera di kawasan sempadan darat serta sekatan rentas sempadan secara timbal balik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.