Thailand negara pertama Asia lancar bungkusan rokok seragam
Thailand melancarkan bungkusan kotak rokok dengan permukaan kosong pada Selasa (11 Sep), menjadikannya negara pertama di Asia untuk memperkenalkan apa yang disifatkan para aktivis sebagai cara berkesan bagi mengurangkan tarikan merokok.

Thailand negara pertama di Asia untuk melancarkan pek rokok yang diseragamkan pada 10 Sep 2019. (Gambar: AFP)
BANGKOK: Thailand melancarkan bungkusan kotak rokok dengan permukaan kosong pada Selasa (11 Sep), menjadikannya negara pertama di Asia untuk memperkenalkan apa yang disifatkan para aktivis sebagai cara berkesan bagi mengurangkan tarikan merokok.
Pada 2012, Australia menjadi negara pertama mewajibkan produk tembakau tempatan dijual tanpa logo jenama berwarna-warni.
Sejak itu, kebanyakan negara Eropah mengikut langkah berkenaan termasuk Perancis, Hungary dan United Kingdom (UK).
Thailand tahun lalu bersetuju mematuhi garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan bungkusan dengan permukaan kosong itu kini dijual di kedai-kedai secara rasmi.
Kedai-kedai mempunyai masa hingga 8 Disember ini untuk menghabiskan stok sebelum berdepan denda sehingga 40,000 baht (S$1,802).
Bungkusan diseragamkan itu termasuk gambar grafik menunjukkan kesan tembakau ke atas tubuh dan nama jenama bebas logo dicetak dalam bentuk tulisan saja.
Mengekalkan jenis tulisan seragam di bawah gambaran grafik penyakit berkaitan rokok akan menjadikan produk itu kurang menarik kepada pembeli, kata timbalan pengerusi NGO Perikatan Kawalan Tembakau Asia Tenggara, Prakit Vathesatogkit.
“Bagi perokok pasif, kanak-kanak, mereka kurang berkemungkinan memulakan tabiat itu,” katanya.
Ada lebih 246 juta perokok di Asia Tenggara di mana menurut para aktivis, harga lebih rendah membantu ia menjadi antara rantau pengguna tembakau terbesar di dunia.
Di Thailand, kesan kesihatannya besar dan penyakit berkaitan merokok adalah punca utama kematian.
Singapura dijangka menguatkuasakan sekatan seumpama itu ke atas bungkusan rokok pada tahun depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.