Skip to main content

Dunia

Thailand mungkin bangkit kepada WTO, ASEAN isu Malaysia gantung import udang

Anggaran Waktu Membaca:
Thailand mungkin bangkit kepada WTO, ASEAN isu Malaysia gantung import udang

Gambar hiasan. (Gambar: XAVIER LEOTY / AFP)

Diterbitkan : 07 Jun 2026 10:48PM Dikemas Kini : 07 Jun 2026 10:49PM
  • Malaysia menggantung import lima spesies udang dari Thailand bermula 1 Jun sebagai langkah kawalan produk perikanan.
  • Kerajaan Thailand, melalui Kementerian Perdagangan dan Kementerian Pertanian, mempercepat rundingan dua hala dengan Malaysia untuk menyelesaikan isu ini.
  • Jika rundingan gagal, Thailand bersedia membawa perkara ini ke forum WTO dan ASEAN bagi melindungi kepentingan penternak dan pengeksport udang mereka.
  • Thailand juga melaksanakan 13 langkah segera, termasuk mencari pasaran alternatif dan meningkatkan penggunaan domestik, untuk mengurangkan kesan kepada industri udang tempatan.
Dijana oleh AI
BANGKOK: Thailand bersedia membangkitkan isu penggantungan sementara import lima spesies udang dari negara itu oleh Malaysia di forum Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan ASEAN sekiranya rundingan dua hala gagal menyelesaikan isu berkenaan.

Jurucakap Kerajaan Ratchada Thanadirek berkata Kementerian Perdagangan telah mengarahkan Pejabat Hal Ehwal Komersialnya di Kuala Lumpur supaya memantau rapat perkembangan susulan penggantungan yang berkuat kuasa pada 1 Jun lepas.

Beliau berkata kerajaan kekal komited untuk menyelesaikan isu itu menerusi perbincangan dua hala, dengan Kementerian Perdagangan serta Kementerian Pertanian dan Koperasi diarahkan untuk mempercepat rundingan bersama rakan sejawat masing-masing di Malaysia.

“Sekiranya isu ini masih tidak dapat diselesaikan, Thailand bersedia membawa perkara ini ke platform WTO dan ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Langkah itu diambil ketika Thailand melaksanakan beberapa langkah bagi mengurangkan kesan penggantungan berkenaan terhadap penternak dan pengeksport udang.

Encik Ratchada berkata Perdana Menteri Anutin Charnvirakul telah menyuarakan kebimbangan mengenai kesan berpotensi terhadap penternak udang, khususnya di selatan Thailand, serta mengarahkan agensi berkaitan mengambil langkah bagi mengelakkan penurunan harga di peringkat ladang sambil mendapatkan pasaran alternatif untuk pengeluar yang terjejas.

Bagi mengurangkan kesan itu, beliau berkata Kementerian Perdagangan memperkenalkan 13 langkah segera yang bertujuan menyerap kira-kira 400 tan pengeluaran udang sebulan - bersamaan purata eksport udang Thailand ke Malaysia - bernilai kira-kira 44 juta baht (S$1.35 juta) sebulan.

Encik Ratchada berkata langkah itu termasuk memperluas peluang eksport ke China menerusi acara promosi perdagangan, program padanan perniagaan dalam talian dan penyertaan dalam pameran makanan antarabangsa utama, selain meningkatkan penggunaan domestik menerusi kempen promosi dan inisiatif campur tangan pasaran.

“Bagi jangka panjang, Jabatan Perikanan Thailand dan Biro Kebangsaan Komoditi Pertanian dan Piawaian Makanan akan meneruskan perbincangan dengan pihak berkuasa Malaysia dalam usaha menyelesaikan pertikaian ini,” katanya.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia bulan lepas mengumumkan penggantungan sementara import lima spesies udang dari Thailand, berkuat kuasa 1 Jun, sebagai sebahagian daripada kawalan lebih ketat terhadap produk perikanan dari negara itu.

Spesies yang terlibat ialah Penaeus esculentus (udang harimau coklat), Fenneropenaeus merguiensis (udang pisang), Penaeus vannamei (udang putih), Penaeus monodon (udang harimau) dan Penaeus stylirostris (udang biru).
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita