Skip to main content

Dunia

Thailand mulakan rundingan tidak rasmi dengan junta Myanmar

Anggaran Waktu Membaca:
Thailand mulakan rundingan tidak rasmi dengan junta Myanmar

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 19 Jun 2023 02:23PM Dikemas Kini : 19 Jun 2023 02:24PM
BANGKOK: Kerajaan sementara Thailand menganjurkan mesyuarat tidak rasmi pada Isnin (19 Jun) melibatkan negara yang terjejas akibat situasi di Myanmar untuk membantu menyokong usaha ASEAN menamatkan keganasan di negara jiran yang diperintah junta.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Thailand (MFA) menyatakan mesyuarat tidak rasmi itu tidak diadakan dalam rangka kerja ASEAN.

Mesyuarat itu dijangka dihadiri wakil peringkat tinggi dari Laos, Kemboja, Myanmar, India, China, Brunei dan Vietnam.

Setakat ini tiga negara anggota utama ASEAN - Malaysia, Singapura dan Indonesia - menyatakan mereka tidak akan menyertai mesyuarat itu.

Kenyataan itu berkata Thailand telah memaklumkan Forum Serantau ASEAN (ARF) di Phnom Penh tahun lalu bahawa ia akan memajukan dialog dalam semua forum untuk mencari jalan menyelesaikan situasi di Myanmar secara aman, termasuk melalui dialog Track 1.5, yang terdiri daripada pemerintah dan akademik.

“Sebagai negara jiran yang berkongsi sempadan sepanjang 2,400 km dengan Myanmar, Thailand mahu melihat pemberhentian keganasan yang akhirnya akan membawa kepada keamanan dan kestabilan di dalam Myanmar," menurut kenyataan itu.

Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan dalam sidang media bersama dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken, di Washington, berkata 'terlalu awal untuk libat urus semula dengan junta pada peringkat persidangan ataupun peringkat menteri luar' kerana tidak ada petunjuk keadaan di Myanmar pulih selepas lebih dari dua tahun.

Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) berkata Menterinya Zambry Abdul Kadir tidak akan dapat menghadiri perbincangan tidak rasmi mengenai Myanmar kerana komitmen terdahulu.

Wisma Putra turut mengimbas kembali keputusan Sidang Puncak ASEAN ke-42 di Labuan Bajo baru-baru ini yang menegaskan bahawa Konsensus Lima Perkara sebagai rujukan dan mandat ASEAN yang sah dalam menangani isu Myanmar.

Pembangkang Myanmar, Pemerintah Perpaduan Nasional mengecam inisiatif Thailand itu.

“Menjemput junta dalam perbincangan itu tidak akan menyumbang kepada penyelesaian krisis politik Myanmar, sebaliknya akan menjejaskan perjuangan rakyat Myanmar untuk hak asasi manusia, keadilan dan demokrasi sekali gus merumitkan lagi masalah,” katanya dalam satu kenyataan.

Tindakan kerajaan sementara Thailand untuk mengadakan mesyuarat itu juga menimbulkan keresahan di negara itu sendiri, memandangkan kerajaan baru hanya akan mengangkat sumpah pada Ogos. Ini berikutan kemenangan mengejutkan blok pembangkang, diketuai oleh Parti Move Forward ke atas junta protentera pada Pilihan Raya Umum 14 Mei.

Sejak junta Myanmar menggulingkan pemerintah awam yang diketuai oleh Aung San Su Kyi dalam rampasan kuasa pada 1 Feb 2021, Myanmar menyaksikan pergolakan dengan pertempuran antara orang awam dan angkatan tentera secara kerap.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita