Skip to main content

Dunia

Thailand lantik Phumtham sebagai Pemangku PM selepas Paetongtarn dipecat

Anggaran Waktu Membaca:
Thailand lantik Phumtham sebagai Pemangku PM selepas Paetongtarn dipecat

Timbalan Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai dilantik sebagai Pemangku Perdana Menteri selepas Paetongtarn dipecat. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 30 Aug 2025 04:55PM Dikemas Kini : 30 Aug 2025 04:56PM

BANGKOK: Timbalan Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai dilantik sebagai Pemangku Perdana Menteri pada Sabtu (30 Ogos) selepas mesyuarat khas Kabinet diadakan bagi memastikan kesinambungan pentadbiran sementara menyusuli pemecatan Paetongtarn Shinawatra oleh Mahkamah Perlembagaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Chusak Sirinil, berkata Kabinet sebulat suara melantik Encik Phumtham, manakala Dr Prommin Lertsuridej dilantik sebagai Setiausaha Agung kepada Perdana Menteri.

Beliau menambah mesyuarat itu juga bersetuju mengenai garis panduan untuk Kabinet baharu dan pentadbiran sementara.

“Pentadbiran sementara perlu melaksanakan tugasnya sama seperti Kabinet biasa. Namun, sebarang dasar baharu yang boleh mengikat kerajaan masa depan perlu ditangguhkan, manakala perkara mendesak dan perlu boleh diteruskan seperti biasa,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa dengan jawatan perdana menteri kini kosong, Kabinet mesti meneruskan peranan sebagai kerajaan sementara sehingga pentadbiran baharu dilantik secara rasmi, dan undang-undang memperuntukkan Timbalan Perdana Menteri berkhidmat sebagai Pemangku Perdana Menteri.

Mengenai kemungkinan pembubaran Parlimen, Encik Chusak berkata isu itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Sabtu, yang hanya menumpukan kepada perkara mendesak dan perlu.

“Dari sudut undang-undang, mungkin terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan pakar. 

"Namun, memandangkan proses pembentukan Kabinet baharu sedang berjalan, tidak wajar membincangkan pembubaran Parlimen atau perkara seumpamanya ketika ini. 

"Keutamaan adalah menyelesaikan pembentukan kerajaan. Jika gagal, maka perkara itu boleh dipertimbangkan semula,” katanya.

Pada Jumaat, Mahkamah Perlembagaan Thailand memecat Paetongtarn Shinawatra daripada jawatan perdana menteri atas dakwaan pelanggaran etika dan integriti.

Dalam keputusan 6-3, mahkamah mendapati pemimpin berusia 39 tahun itu gagal menegakkan standard etika yang diperlukan seorang perdana menteri semasa panggilan telefon pada Jun dengan Presiden Senat Kemboja Hun Sen.

Sumber : Bernama/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita