Skip to main content

Dunia

Thailand lancar serangan udara ke atas sempadan Kemboja sedang rundingan damai diteruskan

Anggaran Waktu Membaca:
Thailand lancar serangan udara ke atas sempadan Kemboja sedang rundingan damai diteruskan
Menurut Tentera Udara Thailand, serangan itu menyasarkan kedudukan kubu tentera Kemboja selepas penduduk awam diarahkan meninggalkan kawasan terbabit. - Gambar AP
BANGKOK: Thailand melancarkan serangan udara ke atas kawasan sempadan yang dipertikaikan dengan Kemboja pada Jumaat (26 Dis), ketika rundingan antara pegawai kedua-dua negara masih berlangsung bagi menamatkan pertempuran yang berlarutan.

Menurut Tentera Udara Thailand, serangan itu menyasarkan kedudukan kubu tentera Kemboja selepas penduduk awam diarahkan meninggalkan kawasan terbabit.

Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Kemboja mendakwa Thailand melancarkan serangan rambang ke atas kawasan penempatan awam, mengakibatkan beberapa orang cedera, seperti dilapor Astro Awani.

Pertempuran kembali tercetus awal bulan ini, meskipun satu gencatan senjata dipersetujui pada Julai lalu yang sebelum itu berjaya menghentikan lima hari pertempuran sengit di sepanjang sempadan.

Sejak konflik itu kembali memuncak, sekurang-kurangnya 41 orang dilaporkan terbunuh manakala hampir satu juta penduduk kehilangan tempat tinggal, seperti dinukil Astro Awani.

Kedua-dua negara saling menyalahkan antara satu sama lain atas kegagalan gencatan senjata tersebut.

Sejak itu, pertempuran merebak ke hampir seluruh kawasan sepanjang sempadan Thailand-Kemboja yang menjangkau kira-kira 500 batu atau 800 kilometer.

Kementerian Pertahanan Kemboja memaklumkan serangan udara pada Jumaat berlaku di wilayah barat laut Banteay Meanchey, dengan sehingga 40 bom digugurkan oleh jet pejuang F-16 milik Thailand, menurut laporan Astro Awani.

Serangan itu berlaku ketika rundingan antara Thailand dengan Kemboja memasuki hari ketiga dalam usaha meredakan ketegangan.

Pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja berlarutan lebih satu abad, dengan pertempuran berskala kecil tercetus secara berkala dan mengorbankan anggota tentera serta orang awam di kedua-dua pihak.

Ketegangan terbaharu tercetus pada Mei lalu selepas seorang anggota tentera Kemboja terbunuh dalam satu pertempuran, sebelum keadaan memuncak pada 24 Julai apabila Kemboja melancarkan serangan roket ke wilayah Thailand.

Serangan itu kemudiannya dibalas dengan serangan udara oleh Thailand, mencetuskan pertempuran sengit selama lima hari yang mengorbankan puluhan anggota tentera dan orang awam.
Sumber : Agensi berita//fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita