Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Thailand ketatkan peraturan guna ganja, kerajaan dikritik tergesa-gesa hapuskan hukuman jenayah

Anggaran Waktu Membaca:
Thailand ketatkan peraturan guna ganja, kerajaan dikritik tergesa-gesa hapuskan hukuman jenayah

(Gambar: Lillian Suwanrumpha/AFP)

BANGKOK: Kerajaan Thailand bergegas untuk mengeluarkan peraturan baru berhubung penggunaan ganja, selepas kebenaran yang diberikan sejak 9 Jun lalu mencetuskan banyak aduan.

Ia termasuk kebimbangan bahan itu mudah diakses untuk tujuan rekreasi oleh sesiapa pun termasuk kanak-kanak.

Penjualan ganja yang meningkat pesat mencetuskan kebimbangan seorang pegawai Bangkok. Timbalan Setiausaha Tetap Wantanee Wattana berkata sekurang-kurangnya seorang dilaporkan meninggal dunia dan beberapa lagi termasuk pelajar berusia 16 dan 17 tahun dimasukkan ke hospital di Bangkok minggu ini untuk rawatan yang ditakrifkan sebagai terlebih mengambil ganja.

Draf rang undang-undang ganja sudah dibentangkan di parlimen, tetapi mungkin mengambil masa beberapa bulan lagi untuk diluluskan menjadi undang-undang.

“Tiada langkah kawalan selain dari mulut ke mulut,” keluh Mana Nimitmongkol, ketua Pertubuhan Pencegahan Rasuah (Thailand), dalam satu catatan online awal minggu ini.

Pada Jumaat (17 Jun), peraturan baru berkuat kuasa melarang perbuatan menghisap ganja secara terbuka di khalayak ramai serta penjualan ganja kepada orang di bawah umur 20 tahun, wanita hamil dan ibu menyusu. Peraturan itu diterbitkan dalam Warta Diraja.

Beberapa peraturan lain termasuk mengharamkan ganja di sekolah, keperluan bagi peruncit memberikan maklumat yang jelas tentang penggunaan ganja dalam makanan dan minuman serta undang-undang kesihatan yang mentakrifkan asap daripada ganja sebagai gangguan awam yang boleh dihukum penjara dan denda.

Pengkritik berkata kerajaan tergesa-gesa untuk menghapuskan hukuman jenayah ke atas ganja sebelum meluluskan undang-undang untuk memastikan bahan itu dikawal.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan, Anutin Charnvirakul, berkata beliau akan menandatangani peraturan Khamis depan untuk menetapkan ganja dan hemp sebagai tumbuhan terkawal.

Peraturan itu akan menjadi alat untuk pegawai mengawal dan mencegah sebarang penyalahgunaan.
Sumber : Agensi berita/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan