Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Thailand kesan 740 kes Omicron di 33 wilayah

Anggaran Waktu Membaca:
Thailand kesan 740 kes Omicron di 33 wilayah

Sebuah kedai di pasar hujung minggu Chatuchak di Bangkok pada 17 Mei 2020. (Gambar: Candida Ng/AFP)

BANGKOK: Pihak berkuasa Kesihatan Awam Thailand pada Rabu (29 Dis) memberi amaran tentang kenaikan kes COVID-19 selepas mengklasifikasikan kelompok pertama Omicron negara itu di wilayah timur laut Kalasin sebagai "super-spreader event" atau acara penyebar utama.

Kelompok cepat merebak itu dikaitkan dengan sepasang suami dan isteri Thai, kedua-duanya berusia 47 tahun, yang pulang dari Belgium dan memasuki negara itu melalui program tanpa kuarantin "Test & Go".

Pasangan itu menonton sebuah konsert dan mengunjungi bar serta pasar.

Terkini, Thailand melaporkan 740 kes varian Omicron di 33 wilayah di negara itu termasuk lebih 200 kes daripada kelompok Kalasin.

Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan Dr Supakit Sirilak berkata kes Omicron melibatkan 489 kes import dan 251 jangkitan tempatan.

“Sehingga kini, kami menjalankan 8,000 ujian COVID-19 dan mengesan 740 kes Omicron,” katanya semasa satu sidang media di Bangkok pada Rabu (29 Dis). 

Sementara itu, SetiausahaTetap Kementerian Kesihatan Awam Dr Kiatiphum Wongrajit berkata dalam situasi paling buruk, dengan langkah pencegahan seperti ujian dan vaksinasi yang sedikit, kes harian COVID-19 dalam negara boleh mencecah 30,000 kes dan lebih 170 kematian.

Bagaimanapun, menurutnya kes COVID-19 boleh mencecah 10,000 dengan kematian harian yang lebih rendah jika orang ramai mematuhi langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata kakitangan kerajaan akan mula bekerja dari rumah selepas Tahun Baru dalam usaha membendung wabak itu.

Beliau turut menggesa sektor swasta untuk mengikuti langkah tersebut.

Dalam tempoh 24 jam terakhir, Thailand mencatatkan 2,575 kes baru COVID-19 dan 17 kematian, menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan negara itu kepada 2,217,287 dan 21,647 kematian.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan