Thailand kenakan kuarantin 21 hari terhadap pelawat dari Congo, Uganda bagi cegah Ebola
Thailand mengetatkan pertahanannya terhadap Ebola dengan mengenakan kuarantin mandatori selama 21 hari terhadap semua pelancong yang tiba dari Republik Demokratik Congo dan Uganda, menurut Kementerian Kesihatan Awam Thailand pada Selasa (26 Mei), lapor Xinhua.
Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok merupakan satu-satunya pintu masuk yang dibenarkan untuk para pelancong dari zon terjejas. (Gambar fail: Twitter/Suvarnabhumi Airport)
Di bawah peraturan baharu itu, pelancong dari atau transit melalui dua negara Afrika berkenaan yang tidak menunjukkan sebarang gejala akan dikehendaki menjalani kuarantin di kemudahan yang ditetapkan selama sekurang-kurangnya 21 hari, kata Setiausaha Tetap kementerian tersebut, Somruk Jungsaman.
Mereka yang menunjukkan gejala yang konsisten dengan penyakit Ebola akan diasingkan di hospital yang ditetapkan untuk sekurang-kurangnya tempoh yang sama, kata Encik Somruk dalam satu kenyataan.
Semua ketibaan terbabit akan disalurkan melalui Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, satu-satunya pintu masuk yang dibenarkan untuk pelancong dari zon terjejas, kata beliau, sambil menambah pihak berkuasa Thailand akan menanggung kos kuarantin dan pengasingan bagi 72 jam pertama.
Langkah-langkah itu berikutan perisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini berhubung wabak Ebola sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan masyarakat antarabangsa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.