Thailand, Kemboja terus bertempur meski setuju runding gencatan senjata
Penduduk tempatan berteduh di khemah perlindungan sementara di wilayah Srisaket selepas Thailand dan Kemboja berbalas-balas serangan meriam pada 25 Julai 2025. (Gambar Fail: Reuters/Athit Perawongmetha)
Kedua-dua negara jiran itu, yang merupakan destinasi pelancongan popular bagi berjuta-juta pelancong antarabangsa, terjebak dalam konflik paling dahsyat dalam bertahun-tahun berhubung sempadan yang dipertikaikan.
Sekurang-kurangnya 33 individu disahkan maut dan lebih 200,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.
Kedua-dua pihak berkata mereka terbuka untuk mengadakan rundingan bagi menghentikan pertempuran itu, selepas Encik Trump bercakap kepada kedua-dua perdana menteri pada Sabtu.
Mereka juga bersetuju untuk mengadakan pertemuan dan "segera merundingkan" gencatan senjata.
Kemboja malah menyatakan ia menyokong sepenuhnya seruan Encik Trump supaya gencatan senjata segera dikuatkuasakan.
Thailand pula menyatakan walaupun ia berterima kasih atas usaha Encik Trump, ia tidak boleh mengadakan sebarang rundingan selagi Kemboja masih menyasarkan para penduduknya, iaitu satu tuduhan yang disangkal oleh Phnom Penh.
"Syarat kami adalah kami tidak mahukan negara yang ketiga tetapi kami berterima kasih atas keprihatinan Encik Trump," kata Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai kepada wartawan sebelum beliau melakukan lawatan ke kawasan sempadan.
"Kami mengusulkan perjanjian dua hala antara menteri-menteri luar kami untuk menyimpulkan syarat-syarat gencatan senjata dan mengundurkan askar-askar serta senjata jarak jauh."
Sementara itu, Kemboja menyatakan Thailand memulakan keganasan pada pagi Ahad dan askar-askar Thailand dikerahkan ke kawasan sempadan.
"Saya sudah jelaskan kepada Yang Berhormat Presiden Donald Trump bahawa Kemboja bersetuju dengan saranan bagi gencatan senjata segera dan tanpa syarat dikuatkuasakan antara kedua-dua tentera," kata Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dalam catatan di Facebook, sambil berkata beliau turut bersetuju dengan usulan gencatan senjata oleh Malaysia sebelum ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.