Skip to main content

Dunia

Thailand, Kemboja akan bincang konflik sempadan di Malaysia pada 22 Dis

Thailand dan Kemboja bersetuju untuk menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 22 Disember ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anggaran Waktu Membaca:
Thailand, Kemboja akan bincang konflik sempadan di Malaysia pada 22 Dis
Menurut Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, mesyuarat antara Thailand dan Kemboja akan membolehkan ASEAN berbincang secara kolektif bagi menentukan fakta sebenar di lapangan. (Gambar: Bernama)
Diterbitkan : 18 Dec 2025 07:16AM Dikemas Kini : 18 Dec 2025 07:45AM
PUTRAJAYA: Thailand dan Kemboja bersetuju untuk menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 22 Disember ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata inisiatif yang diusahakan oleh Malaysia dan ASEAN itu bertujuan mengendurkan ketegangan serta mengelakkan sebarang peningkatan konflik di sepanjang sempadan Thailand - Kemboja.

Menurut PM Anwar, mesyuarat itu akan membolehkan ASEAN berbincang secara kolektif, menentukan fakta sebenar di lapangan, serta mempergiat usaha memujuk kedua-dua pihak untuk menghentikan serangan di barisan hadapan, bermula dengan gencatan senjata serta-merta.

"Kami merayu kepada mereka supaya menghentikan serangan di barisan hadapan ini dengan segera dan jika boleh, gencatan senjata serta-merta.

"Mereka kurang senang dengan istilah gencatan senjata kerana ia seolah-olah menunjukkan persetujuan mereka.

"Jadi, jika anda lihat kenyataan saya, saya menggesa semua pihak untuk mematuhi gencatan senjata ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan pada Rabu (17 Dis) dalam sesi taklimat selama sejam bersama ketua-ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa mengenai prestasi tahun 2025 dan prospek untuk tahun hadapan.

Encik Anwar berkata Malaysia tidak berada dalam kedudukan untuk mengeluarkan "arahan" kepada menteri-menteri luar, namun pemimpin dan menteri ASEAN sentiasa berhubung rapat melalui penglibatan di pelbagai peringkat.

"Saya tidak memberikan arahan kepada menteri-menteri luar, tetapi kami berkomunikasi hampir setiap hari," tegas beliau.

Encik Anwar berkata keputusan untuk mengadakan mesyuarat itu menyusul selepas rundingan berterusan dengan Perdana Menteri Thailand dan Kemboja.

Beliau turut dimaklumkan mengenai perkembangan terkini oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang menghubunginya mengenai perkara itu.

"Presiden Trump menghubungi saya dan memberikan maklumat terkini. Saya memberitahu Presiden Trump bahawa adalah penting untuk meyakinkan mereka supaya menghentikan serangan," katanya.

Beliau berkata walaupun tarikh itu dipersetujui lebih awal, kedua-dua Perdana Menteri pada mulanya berhati-hati untuk mengadakan rundingan terlalu awal jika ketegangan di lapangan belum reda, namun kini kedua-dua negara bersetuju untuk hadir pada 22 Disember.

"Anda lihat dalam kalangan pihak yang sedang bertelagah, selalunya sukar untuk membawa mereka duduk berbincang. Namun di sini, atas inisiatif Malaysia dan ASEAN, mereka bersetuju untuk hadir," katanya.

Encik Anwar berkata pandangan kolektif menteri-menteri luar ASEAN adalah penting dalam memujuk kedua-dua pihak menghentikan permusuhan sebelum beralih kepada perbincangan mengenai parameter jangka sederhana dan panjang bagi penyelesaian secara aman.

Beliau menambah bahawa Thailand dan Kemboja juga bersetuju dengan penempatan Pasukan Pemerhati ASEAN, selain memaklumkan Panglima Angkatan Tentera Malaysia akan berlepas ke sempadan dalam masa beberapa hari lagi untuk meneruskan libat urus di peringkat ketenteraan.

Encik Anwar berkata penglibatan Malaysia akan diteruskan melalui pelbagai saluran, termasuk komunikasi antara pemimpin, menteri-menteri luar dan panglima angkatan tentera masing-masing.

"Saya kekal optimis dan berhati-hati kerana apabila saya bercakap dengan kedua-dua Perdana Menteri, mereka berhasrat untuk mencapai penyelesaian damai secepat mungkin," katanya sambil berharap menjelang 22 Disember ini, ASEAN dapat membantu memeterai persefahaman, tertakluk kepada persetujuan kedua-dua pihak.
Sumber : Bernama/HA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita