Thailand, Kemboja akan berunding di Malaysia pada 28 Jul berhubung konflik sempadan
Para penduduk dari wilayah Surin berteduh di kawasan perlindungan sementara di Kampus Surin, Universiti Teknologi Rajamangala Isan (RMUTI) di Thailand, pada 27 Jul 2025. (Foto: CNA/Jack Board)
Rundingan dijadual bermula pada pukul 3.00 petang pada Isnin (28 Jul), dengan Pemangku Perdana Menteri Phumtham Wechayachai mengetuai pasukan perunding Thailand, umum kerajaan Thai dalam satu kenyataan pada Ahad malam (27 Jul).
Malaysia, yang mempengerusikan forum kerjasama serantau ASEAN, telah memaklumkan kepada kerajaan Thailand bahawa Perdana Menteri Kemboja Hun Manet juga akan menghadiri rundingan itu, menurut kenyataan tersebut.
Ketegangan antara Thailand dan Kemboja semakin memuncak sejak akhir Mei selepas seorang askar Kemboja terbunuh dalam pertempuran di sempadan yang memisahkan kedua-dua negara. Tentera sempadan di kedua-dua belah pihak diperkukuh di tengah-tengah krisis diplomatik itu.
Permusuhan antara kedua-dua negara bersambung semula pada Khamis lalu dan, dalam masa empat hari sahaja, memuncak menjadi pertempuran terburuk antara kedua-dua negara tersebut dalam tempoh lebih sedekad.
Angka korban meningkat melebihi 30 orang, termasuk 13 orang awam di Thailand dan lapan di Kemboja, manakala pihak berkuasa dari kedua-dua negara melaporkan bahawa lebih 200,000 orang telah dipindahkan dari kawasan sempadan.
Rundingan pada Isnin ini diadakan selepas Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim minggu lalu mencadangkan gencatan senjata dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Sabtu (26 Jul) bahawa pemimpin kedua-dua negara bersetuju untuk mencapai gencatan senjata.
Kedua-duanya berkata mereka bersedia untuk memulakan perbincangan untuk menamatkan pertempuran selepas Encik Trump bercakap dengan kedua-dua perdana menteri, dan berkata bahawa mereka telah bersetuju untuk bertemu dan "segera menyelesaikan" gencatan senjata.
Kemboja menyatakan bahawa ia menyokong sepenuhnya gesaan Encik Trump untuk mencapai gencatan senjata dengan segera.
Thailand walaupun berterima kasih kepada Presiden Trump menegaskan bahawa ia tidak dapat memulakan rundingan jika Kemboja masih menyasarkan orang awamnya, dengan dakwaan itu dinafikan oleh Phnom Penh.
"Syarat kami ialah kami tidak mahu negara ketiga tetapi berterima kasih atas keprihatinan beliau (Presiden Trump)," kata Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham kepada para wartawan sebelum berangkat ke kawasan sempadan.
"Kami telah mencadangkan rundingan dua hala antara menteri luar kami untuk memuktamadkan syarat bagi gencatan senjata dan menarik balik tentera dan senjata jarak jauh," kata Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.