Thailand gesa siasatan dipercepat terhadap punca bangunan runtuh susuli gempa Myanmar
Siasatan terhadap punca runtuhan sebuah bangunan pencakar langit setinggi 30 tingkat masih dijalankan sebulan selepas gempa bumi sekuat 7.7 magnitud melanda negara jiran Myanmar.

Jentera berat digunakan untuk membersihkan kesan runtuhan bangunan di Bangkok. (Gambar: AP/Manish Swarup)
Bangunan itu yang sepatutnya menempatkan ibu pejabat baharu Pejabat Audit Negara Thailand (SAO) di bahagian utara Bangkok, runtuh dalam masa beberapa saat pada 28 Mac, menyebabkan 103 pekerja terperangkap di bawah runtuhan bangunan tersebut.
Pihak berkuasa Thailand telah bekerja tanpa henti sepanjang bulan lalu, menggunakan jentera berat untuk menghapuskan serpihan-serpihan daripada runtuhan itu.
Sekurang-kurangnya 63 mayat sudah ditemui dan selebihnya tidak dapat dikesan, dikhuatiri masih terperangkap di bawah runtuhan tersebut.

Pihak berkuasa tempatan yang selesai memeriksa bangunan lain di ibu kota itu mendapati walaupun kerosakan seperti rekahan pada beberapa struktur dikesan, menara SAO itu tetap satu-satunya yang tidak dapat bertahan selepas digegarkan gempa bumi.
Siasatan kini tertumpu kepada runtuhan bahan-bahan yang digunakan untuk membina struktur yang runtuh itu, termasuk puluhan ribu tan konkrit dan palang besi.
MUTU BAHAN BINAAN
Salah satu syarikat yang disiasat ialah Xin Ke Yuan Steel, yang menghasilkan palang besi yang digunakan untuk membina bangunan tersebut.
Siasatan awal oleh Institut Besi dan Keluli Thailand mendapati sampel keluli syarikat itu gagal memenuhi piawai keselamatan, menurut media tempatan.
Selain itu, kilang syarikat tersebut di Rayong diarahkan ditutup pada Disember 2024 atas pelanggaran piawai keselamatan berhubung satu insiden berasingan.
Lubang lif di bangunan itu turut menimbulkan keprihatinan.
Para penyiasat yang dilantik kerajaan percaya tembok lif itu dibina lebih tipis daripada yang dirancang sebelum ini, menurut laporan media tempatan.
Pihak berkuasa Thailand menyatakan bahawa ini mungkin menjejaskan keutuhan struktur bangunan itu, sekali gus menyebabkannya mudah runtuh apabila berlaku gempa bumi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.