Skip to main content

Dunia

Thailand dan Kemboja usaha redakan ketegangan sempadan yang meruncing

Para pegawai Thailand dan Kemboja mengadakan pertemuan pada Sabtu (14 Jun) untuk meredakan ketegangan di tengah-tengah kebimbangan mengenai pertempuran tentera antara kedua-dua negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Thailand dan Kemboja usaha redakan ketegangan sempadan yang meruncing

Seorang askar Thailand berdiri di sempadan Chong Chom di wilayah Surin, Thailand, salah satu laluan utama ke Kemboja. (Gambar: CNA/Jack Board)

BANGKOK/PHNOM PENH: Para pegawai Thailand dan Kemboja mengadakan pertemuan pada Sabtu (14 Jun) untuk meredakan ketegangan di tengah-tengah kebimbangan mengenai pertempuran tentera antara kedua-dua negara. Ini selepas pertikaian wilayah yang sudah lama berlarutan tercetus kembali, mendorong kedua-dua negara mengerahkan tentera ke kawasan sempadan masing-masing.

Kedua-dua negara tersebut berkongsi sempadan sepanjang 820 kilometer, dengan sebahagian daripadanya belum ditandakan secara rasmi dan merangkumi kawasan kuil purba yang telah menjadi rebutan selama beberapa dekad. Ketegangan terbaharu tercetus selepas insiden tembak-menembak yang singkat pada 28 Mei lalu, menyebabkan seorang anggota tentera Kemboja terbunuh.

“Kerajaan Thailand berharap untuk menggunakan peluang ini untuk menghuraikan isu itu secara aman,” kata Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, dalam satu catatan di Facebook pada Jumaat.

Pertikaian tersebut meletus sedang kerajaan Thailand berdepan cabaran untuk mengekalkan popularitinya sedang usaha dijalankan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi. Pentadbiran Cik Paetongtarn juga menghadapi tekanan untuk mengambil pendirian lebih tegas terhadap Kemboja, diiringi desakan lantang oleh tentera Thailand.

Walaupun kedua-dua negara telah berikrar untuk mengadakan dialog dan meredakan semangat nasionalisme, Bangkok tetap mengancam untuk menutup sempadan serta memutuskan bekalan elektrik ke negara jirannya itu.

Sebagai tindak balas, Phnom Penh mengumumkan bahawa ia akan menghentikan pembelian tenaga elektrik, jalur lebar internet dan hasil pertanian dari Thailand. Pihak berkuasa juga mengarahkan stesen televisyen tempatan agar tidak menayangkan filem-filem dari Thailand.

PENGHURAIAN MUNGKIN TIDAK TERCAPAI

Penyelesaian rasmi tidak dijangka dicapai hujung minggu ini dalam mesyuarat Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC) di Phnom Penh, dan masih belum jelas bila keputusan mesyuarat itu akan diumumkan.

Kemboja bertekad untuk membawa kes itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi menentukan bidang kuasa ke atas empat kawasan yang dipertikaikan, manakala Thailand menegaskan bahawa isu berkenaan harus diselesaikan melalui rundingan dua hala.

“Kemboja mahu selesaikan pertikaian ini di ICJ, sesuatu yang Thailand tidak akan terima,” kata Dulyapak Preecharush, pakar kajian Asia Tenggara di Universiti Thammasat, Bangkok.

“Jadi, tidak banyak lagi yang boleh dibincangkan dalam JBC selain mengekalkan suasana yang sesuai untuk dialog seterusnya.”

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, berkata pada Jumaat bahawa negaranya tidak akan membincangkan keempat-empat kawasan yang menjadi pertikaian dalam mesyuarat suruhanjaya sempadan tersebu. Beliau menambah bahawa pemerintah akan menghantar surat rasmi kepada ICJ pada Ahad berhubung rancangannya untuk memfailkan kes itu.

Mantan perdana menteri Hun Sen, yang juga bapa kepada Encik Hun Manet, telah membidas tentera Thailand kerana menyekat lintasan sempadan dan menuduh para jeneral serta golongan nasionalis Thai memburukkan lagi ketegangan.

“Hanya kumpulan-kumpulan pelampau dan beberapa puak dalam tentera yang bertanggungjawab bagi isu-isu yang dihadapi dengan Kemboja kerana, seperti biasa, kerajaan Thailand tidak mampu mengawal tenteranya seperti yang boleh dilakukan oleh negara kita,” katanya pada lewat Khamis.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita