Thailand catat paras rekod COVID-19 buat 2 hari berturut-turut
Thailand pada Isnin (12 Apr) melaporkan 985 kes baru COVID-19, lonjakan harian terbesar buat dua hari berturut-turut, sedang negara itu berusaha untuk membendung gelombang jangkitan ketiga dan penularan varian yang lebih mudah berjangkit.
Seorang sami terima suntikan vaksin AstraZeneca COVID-19 di Kuil Nak Prok di Bangkok, Thailand, pada 9 Apr 2021. (Gambar: AP/Sakchai Lalit)
BANGKOK: Thailand pada Isnin (12 Apr) melaporkan 985 kes baru COVID-19, lonjakan harian terbesar buat dua hari berturut-turut, sedang negara itu berusaha untuk membendung gelombang jangkitan ketiga dan penularan varian yang lebih mudah berjangkit.
Negara itu melaporkan 33,610 kes koronavirus kesemuanya, sementara angka korban kekal pada 97 mangsa. Pada Ahad, negara itu melaporkan 967 kes baru COVID-19.
Lonjakan itu berlaku menjelang sambutan cuti utama negara itu, Songkran, sebuah acara pesta air besar-besaran yang kini dilarang oleh pihak berkuasa buat dua tahun berturut-turut disebabkan oleh pandemik tersebut.
Ribuan warga Thailand secara tradisi akan pulang ke kampung halaman semasa tempoh cuti Songkran, yang secara rasmi bermula pada Selasa.
Pihak berkuasa menggesa orang ramai supaya jangan melakukan perjalanan yang tidak perlu dan menghadkan perhimpunan untuk membendung penularan pandemik itu, yang merangkumi varian B117 yang sangat mudah berjangkit dan pertama kali dikesan di Britain.
Hampir 40 wilayah sudah melaksanakan sekatan dan kuarantin terhadap mereka yang melakukan perjalanan dari kawasan-kawasan yang menjadi kelompok jangkitan COVID-19 dan ibu kota Bangkok, yang kini disifatkan sebagai kelompok terbaru virus tersebut di Thailand.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.