Skip to main content

Dunia

Thailand beri amaran lonjakan kes COVID-19 susuli Pesta Songkran

Anggaran Waktu Membaca:
Thailand beri amaran lonjakan kes COVID-19 susuli Pesta Songkran

Gambar Fail: AFP/Christophe ARCHAMBAULT

Diterbitkan : 06 Apr 2022 10:24AM

BANGKOK: Pihak berkuasa kesihatan Thailand pada Selasa (5 Apr) memberi amaran kepada orang ramai untuk bersiap sedia menghadapi lonjakan kes COVID-19 selepas sambutan Pesta Songkran yang akan berlangsung antara 13 hingga 15 April ini.

Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) mengunjurkan, jika orang ramai gagal mematuhi langkah pencegahan, kes harian boleh mencecah 100,000 selepas sambutan Tahun Baru Thailand tersebut.

Selain itu, angka korban harian juga boleh melepasi 250 kes dari pertengahan April hingga Mei.

Ketua Biro Epidemiologi DDC, Dr Jakrat Phittayawong-anon menggesa anggota masyarakat untuk sentiasa mematuhi langkah-langkah pencegahan.

"Kes harian COVID-19 akan berganda kepada sekitar 50,000 kes dan lebih 100 kematian selepas Songkran," katanya.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha juga menggesa orang ramai supaya sentiasa mematuhi dengan tegas langkah pencegahan COVID-19 termasuk memakai pelitup muka di tempat awam.

Jurucakap Kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata perdana menteri turut menggesa orang ramai supaya melakukan ujian antigen pantas kendiri manakala mereka yang berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan berisiko tinggi pula dinasihat untuk mendapatkan suntikan dos penggalak.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul berkata dengan kadar vaksinasi yang tinggi di negara tersebut, beliau yakin kementeriannya dapat menguruskan keadaan COVID-19 sekiranya berlaku lonjakan pada jumlah kes selepas Songkran.

Bagaimanapun, beliau melahirkan keprihatinan terhadap warga emas dan kanak-kanak berusia bawah umur lima tahun yang tidak divaksin.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand melaporkan 21,088 kes baru dan 91 kematian, sekali gus mencatatkan jumlah terkumpul 3,757,575 kes di negara itu dan 25,603 kematian.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita