Thailand batal rancangan hantar pulang remaja Saudi yang lari dari keluarga
Thailand membatalkan rancangannya pada Isnin (7 Jan) untuk mengusir seorang remaja perempuan Arab Saudi yang melarikan diri daripada keluarganya. Ini setelah remaja itu menguncikan diri dalam bilik hotel di lapangan terbang bagi mengelak daripada dipaksa menaiki pesawat ke Kuwait.
Rahaf Mohammed al-Qunun (2 dari kiri) bersama para pegawai Thai (Gambar: AFP)
BANGKOK: Thailand membatalkan rancangannya pada Isnin (7 Jan) untuk mengusir seorang remaja perempuan Arab Saudi yang melarikan diri daripada keluarganya. Ini setelah remaja itu menguncikan diri dalam bilik hotel di sebuah lapangan terbang bagi mengelak daripada dipaksa menaiki pesawat ke Kuwait oleh para pegawai imigresen.
Rahaf Mohammed al-Qunun sudah berada di lapangan terbang antarabangsa Bangkok sejak Sabtu selepas mendarat dari Kuwait. Dia mendakwa bimbang akan dibunuh keluarganya jika dia pulang ke Saudi. Keluarganya tidak dapat dihubungi untuk mengulas dakwaan remaja itu.
Para pegawai Thailand kini merancang untuk bertemu dengan wakil Suruhanjaya Tinggi bagi Pelarian PBB bagi membincangkan kes tersebut, kata ketua imigresen Surachate Hakparn kepada para wartawan.
Qunun sebelum ini berkata dia cuba untuk melarikan diri dari keluarganya yang didakwa menderanya secara fizikal dan psikologi.
Remaja itu mula mendapat perhatian di media sosial, selepas dalam catatan Twitternya berkata dia akan dibunuh jika dia dihantar pulang oleh pegawai imigresen Thailand.
Remaja itu sedang bercuti di Kuwait dengan keluarganya apabila dia melarikan diri dua hari lalu.
Dia cuba melarikan diri ke Australia ketika menyambung penerbangan dari Bangkok.
Namun, katanya dokumen penerbangannya dirampas oleh pegawai Saudi dan Kuwait ketika dia tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi.
Tuntutannya disokong oleh Hak Asasi Manusia yang meminta pihak berkuasa Thai agar menghentikan pengusiran yang dirancang untuk Qunun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.