Thailand bakal wajibkan sijil perubatan bagi pembelian ganja
Thailand merancang untuk memperkenalkan syarat agar sijil perubatan ditunjukkan semasa pembelian ganja, menurut seorang pegawai kanan pada Khamis (22 Mei), dalam usaha untuk mengetatkan kawalan terhadap penggunaan dadah tersebut, tiga tahun selepas ia tidak lagi dianggap sebagai jenayah.

Sebuah kedai ganja di Bangkok, Thailand. (Gambar fail: iStock)
Thailand merupakan antara negara pertama di Asia yang tidak lagi menganggap penggunaan ganja sebagai jenayah, namun berbuat demikian tanpa undang-undang khusus untuk mengawal penjualan, pengeluaran atau penggunaannya. Ini menyebabkan industri tersebut berkembang pesat secara mendadak, dengan puluhan ribu peruncit muncul di seluruh negara, terutamanya di kawasan tumpuan pelancong seperti Bangkok dan pulau peranginan Phuket.
Peraturan baharu itu, yang dijangka diumumkan dalam tempoh 40 hari, akan memastikan ganja digunakan untuk tujuan perubatan dan bukan rekreasi, kata Somruek Chungsaman, yang mengetuai jabatan perubatan tradisional dan alternatif di kementerian kesihatan negara itu.
“Sesiapa sahaja yang ingin membeli bunga ganja untuk dihisap, sama ada warga tempatan atau asing, mesti mempunyai preskripsi doktor bagi tujuan perubatan,” katanya kepada Reuters. “Kami tidak mahu orang berkata mereka datang ke Thailand semata-mata untuk menghisap ganja. Hal tersebut memberikan gambaran negatif.”
Menteri Kesihatan Thailand sebelum ini mengatakan bahawa penggunaan ganja untuk tujuan rekreasi akan diharamkan menjelang akhir tahun lalu, namun tiada sekatan yang dikenakan setakat ini terhadap industri yang dianggarkan bernilai lebih AS$1 bilion (S$1.29 bilion) setahun itu.
Sehingga kini, pihak berkuasa hanya mengeluarkan peraturan secara berasingan seperti melarang ganja di sekolah dan mewajibkan peruncit untuk memberikan maklumat jelas mengenai penggunaan ganja dalam makanan dan minuman bagi mengawal industri tersebut.
Kementerian Kesihatan Thailand kini merangka undang-undang menyeluruh berkenaan ganja, yang memerlukan kelulusan daripada kabinet sebelum ia dibentangkan di parlimen untuk dibahaskan.
Penyokong penggunaan ganja pula berpendapat bahawa syarat terbaharu yang memerlukan nota daripada doktor adalah tidak diperlukan kerana penggunaan ganja sudah merosot selepas lonjakan awal.
“Ganja tidak popular dalam kalangan belia. Malah, bilangan pengguna tidak meningkat langsung, menyebabkan banyak kedai terpaksa ditutup,” kata Prasitchai Nunual, setiausaha agung Rangkaian Masa Depan Ganja Thailand.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.