Skip to main content

Dunia

Thailand arah agensi kerajaan laksanakan aturan kerja dari rumah bagi jimat tenaga

Perdana Menteri sementara Thailand Anutin Charnvirakul mengarahkan agensi kerajaan dan perusahaan negeri untuk segera melaksanakan pengaturan kerja dari rumah (WFH) bagi mengurangkan penggunaan tenaga sementara ketegangan geopolitik berlarutan di Timur Tengah.
Anggaran Waktu Membaca:
Thailand arah agensi kerajaan laksanakan aturan kerja dari rumah bagi jimat tenaga
Perdana Menteri sementara Thailand Anutin Charnvirakul arahkan agensi kerajaan dan perusahaan negeri untuk melaksanakan pengaturan kerja dari rumah bagi mengurangkan penggunaan tenaga. (Gambar: Bernama)
BANGKOK: Perdana Menteri sementara Thailand Anutin Charnvirakul mengarahkan agensi kerajaan dan perusahaan negeri untuk segera melaksanakan pengaturan kerja dari rumah (WFH) bagi mengurangkan penggunaan tenaga sementara ketegangan geopolitik berlarutan di Timur Tengah.

Timbalan Jurucakap Kerajaan Thailand Lalida Prertwiwatthana berkata arahan itu dikeluarkan kepada jabatan yang boleh melaksanakan WFH tanpa menjejas perkhidmatan awam, sebagai antara langkah meningkatkan kecekapan pengurusan sumber sektor awam.

Beliau berkata Perdana Menteri juga mengarahkan agensi untuk menangguhkan lawatan sambil belajar ke luar negara dan agar program latihan serta aktiviti seperti itu dijalankan secara domestik. 

“Semua agensi telah diarahkan untuk melaksanakan langkah ini sambil memastikan perkhidmatan awam terus tidak terjejas," kata Cik Lalida dalam kenyataan selepas mesyuarat Kabinet pada Selasa (10 Mac).

Beliau menambah pihak berkuasa akan memantau dengan teliti perkembangan situasi ekonomi dan tenaga global untuk memastikan dasar boleh diselaraskan sewajarnya dan tepat pada masanya.

Sementara itu, seorang lagi Timbalan Jurucakap Kerajaan Airin Phanpharit mendedahkan bahawa purata permintaan harian Thailand untuk produk minyak ditapis berjumlah kira-kira 124 juta liter.

Beliau berkata setakat 5 Mac, jumlah rizab minyak negara berjumlah 8.055 bilion liter manakala purata penggunaan produk minyak bertapis adalah kira-kira 3.13 juta tong sehari.

Bagaimanapun, beliau berkata Thailand terus bergantung pada import minyak mentah, khususnya dari Timur Tengah.

Beliau menambah Thailand kini mempunyai kira-kira 8.054 bilion liter rizab minyak, termasuk rizab berkanun dan komersial, yang boleh memenuhi keperluan tenaga negara pada tahap tertentu.

“Namun Kementerian Tenaga telah mencadangkan langkah penjimatan tenaga tambahan untuk agensi kerajaan bagi menggalakkan penggunaan tenaga yang cekap dan menjadi contoh kepada sektor masyarakat lain,” kata beliau.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita