Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Thai Airways siasat kes dulang makanan tidak diambil sebelum mendarat dalam penerbangan SG-Bangkok

Anggaran Waktu Membaca:
Thai Airways siasat kes dulang makanan tidak diambil sebelum mendarat dalam penerbangan SG-Bangkok

(Gambar: Tangkapan skrin video TikTok /praewa_panicha)

SINGAPURA: Syarikat penerbangan Thai Airways sedang "segera menyiasat" insiden di dalam satu penerbangan dari Singapura ke Bangkok, di mana anak kapalnya didakwa gagal mengambil semula dulang makanan penumpang sebelum pesawat tersebut mendarat.

Pengguna TikTok dengan nama akaun "praewa_panicha" memuat naik sebuah video pada Jumaat (17 Feb) yang menunjukkan sederet dulang makanan penumpang, yang tidak diangkat daripada meja boleh lipat.

Sebuah botol air juga dilihat terjatuh di dalam video tersebut.

Video berkenaan menarik hampir 7,000 tanda suka dan lebih 400 komen sejak ia dimuat naik.

Seorang pengguna meninggalkan komen pada hantaran tersebut, sambil menyatakan bahawa ia sesuatu yang aneh apabila tiada anak kapal memeriksa bagi memastikan kesemua meja sudah dilipat semula.

Menjawab komen pengguna tersebut, Praewa menjelaskan bahawa tiada kelihatan mana-mana anak kapal ketika itu, meskipun dia sudah menekan butang bagi mendapatkan bantuan mereka.

Beliau juga memuat naik video kedua pada Sabtu (18 Feb), yang memberi perincian lanjut mengenai pengalamannya itu. Beliau berkata dulang-dulang makanan tersebut masih berada di meja mereka meskipun para penumpang diberitahu supaya memakai tali pinggang mereka.

Beliau dan rakan-rakannya terkejut apabila mendengar juruterbang pesawat tersebut memberitahu anak kapal supaya melakukan persiapan bagi pendaratan pesawat tersebut.

Mereka terpaksa memegang dulang masing-masing untuk mengelak daripada mengotorkan tempat duduk mereka.

Mengulas mengenai insiden tersebut, beliau menambah bahawa mereka sudah memaklumkan kepada seorang anak kapal mengenai dulang makanan yang tidak diambil, sejurus selepas pesawat itu mendarat.

Anak kapal tersebut dikatakan terkejut lalu memohon maaf.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke Facebook pada Sabtu, syarikat penerbangan tersebut menyatakan bahawa mereka sedia maklum mengenai insiden berkenaan.

"(Thai Airways) tidak akan mudah berpuas hati dalam menjalankan siasatan ke atas insiden ini, yang mungkin berlaku disebabkan banyak faktor," menurut syarikat penerbangan tersebut dalam catatan itu.

Syarikat penerbangan tersebut menegaskan bahawa ia sedang dalam proses menjalankan siasatan segera bagi mendapatkan fakta-fakta berhubung insiden demikian.

Ia menambah bahawa keselamatan para penumpang menjadi keutamaan mereka.

Anak kapal mempunyai senarai semakan untuk memastikan kabin dalam keadaan teratur sebelum berlepas dan mendarat, dan mesti mematuhi piawaian keselamatan penerbangan antarabangsa, tambah syarikat penerbangan tersebut.
Sumber : CNA/SS/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan