Skip to main content

Dunia

Tesla bakal buka ibu pejabat di M'sia

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) sudah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport Bateri Kenderaan Elektrik (BEV) ke Malaysia.

Menurut Menterinya, Zafrul Abdul Aziz, dalam merealisasikan objektif itu, Tesla akan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia.

Selain itu, ia akan memperkenalkan Pusat Pengalaman dan Pusat Servis Tesla serta mewujudkan rangkaian pengecas Superchargernya di Malaysia.

Encik Zafrul berkata kehadiran Tesla di Malaysia dijangka mewujudkan peluang pekerjaan yang mampu menawarkan gaji lebih baik bagi segmen BEV. Ini di samping meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem Tesla di peringkat domestik dan global.

“Kami gembira dengan keputusan TESLA untuk turut serta dalam ekosistem Kenderaan Elektrik (EV) di Malaysia dan ini membuktikan keyakinan Tesla terhadap asas ekonomi dan persekitaran perniagaan yang kondusif di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu (1 Mac), lapor Astro Awani. 

Mengulas lanjut, Encik Zafrul berkata walaupun sudah ada banyak jenama global utama memilih untuk melabur di Malaysia, MITI dan agensinya akan terus meningkatkan usaha dalam memperkasa kemudahan menjalankan perniagaan.

Pada masa sama, ia akan terus menaikkan profil Malaysia sebagai negara yang menyokong perdagangan, industri dan pelaburan.

"Kami juga akan memanfaatkan ekosistem elektrik dan elektronik secara strategik bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan bagi teknologi berkaitan mobiliti elektrik.

"Kemasukan Tesla dipermudahkan oleh MITI melalui pengenalan inisiatif BEV Global Leaders bagi tujuan membantu meningkatkan permintaan BEV dalam pasaran tempatan dan menggalakkan pembangunan keseluruhan ekosistem untuk menyokong penggunaan BEV.

"Di samping itu, inisiatif ini bertujuan mendapatkan pelaburan daripada syarikat pengeluar BEV global terkemuka di Malaysia," ujarnya, dipetik daripada Astro Awani. 

Encik Zafrul menambah Tesla ialah pemohon pertama bagi inisiatif oleh MITI itu. 

Sumber : Agensi berita/SS/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita