Skip to main content

Dunia

Teroka keunikan Kluang dengan menaiki ETS3 yang baru beroperasi

Kluang yang sinonim dengan identiti kereta api dan keenakan kopinya, kini kembali menjadi sebutan apabila perkhidmatan Tren Elektrik (ETS3) Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang baru beroperasi menarik kehadiran pengunjung luar untuk datang mencuba pengalaman baharu menerokai daerah itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Teroka keunikan Kluang dengan menaiki ETS3 yang baru beroperasi

Para pengunjung tidak melepaskan peluang merakam gambar kenangan serta menikmati suasana menarik di sekitar Laman Rel Mahkota, pada 16 September 2025. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 17 Sep 2025 10:20PM
  • Kluang yang sinonim dengan identiti kereta api dan keenakan kopinya, kini kembali menjadi sebutan apabila perkhidmatan Tren Elektrik (ETS3) Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang baru beroperasi menarik kehadiran pengunjung luar untuk datang mencuba pengalaman baharu menerokai daerah itu.
  • ETS3 bagi laluan selatan sudah beroperasi pada 30 Ogos lalu, melibatkan laluan Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) – Kluang – KL Sentral.
  • Kereta api ETS mampu mencapai kelajuan sehingga 160km/j, menjadikannya jauh lebih pantas berbanding bas atau kereta di lebuh raya, menurut laporan SAYS.
  • Pada 23 Ogos, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut berkenan berangkat merasmikan ETS3 bagi laluan selatan di Stesen Kuala Lumpur.
Dijana oleh AI
KLUANG: Kluang yang sinonim dengan identiti kereta api dan keenakan kopinya, kini kembali menjadi sebutan apabila perkhidmatan Tren Elektrik (ETS3) Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang baru beroperasi menarik kehadiran pengunjung luar untuk datang mencuba pengalaman baharu menerokai daerah itu.

Perkhidmatan ETS3 menjadikan Kluang yang baru sahaja diisytihar sebagai daerah paling bahagia itu lebih mudah untuk diakses, sekali gus berupaya menjadikannya sebagai destinasi pilihan bagi percutian singkat bersama-sama keluarga, misalnya pada musim cuti persekolahan.

Terbuka sahaja pintu kereta api, para pengunjung hanya perlu berjalan sejauh kira-kira 200 meter untuk menikmati aroma kopi pekat dan roti bakar di Kluang Rail Coffee yang merupakan kopitiam ikonik dan tertua di daerah berkenaan.

Beberapa langkah lagi pula akan membawa mereka ke Laman Rel Mahkota, iaitu perintis laman rel di Malaysia dengan kawasan landasan kereta api lama dinaik taraf sebagai lokasi riadah dan aktiviti masyarakat, sekali gus menjadi simbol penghargaan kepada identiti Kluang sebagai "Bandar Kereta Api" sejak 1990.

Kemeriahan Kluang, bandar terbesar ketiga di Johor yang terletak kira-kira 110 kilometer dari ibu negeri itu bukan sahaja diserikan dengan pengunjung luar, tetapi turut diraikan penduduk setempat di situ yang menyifatkan bandar berkenaan semakin meriah dengan kedatangan pelancong domestik. 
Related article image
Kereta api ETS mampu mencapai kelajuan sehingga 160km/j. (Gambar: Facebook/KTM Berhad)
APA PERLU ANDA TAHU TENTANG ETS3

ETS merupakan antara pengangkutan darat paling pantas di Malaysia

Kereta api ETS mampu mencapai kelajuan sehingga 160km/j, menjadikannya jauh lebih pantas berbanding bas atau kereta di lebuh raya, menurut laporan SAYS.

Masa perjalanan yang lazim adalah seperti berikut:
 
  • Perjalanan dari KL Sentral ke Ipoh mengambil masa sekitar dua jam 30 minit.
  • Dari KL Sentral ke Butterworth pula mengambil masa kira-kira empat jam.
  • Perjalanan dari KL Sentral ke Padang Besar mengambil masa sekitar lima jam 30 minit.


Bagi penumpang rentas sempadan, stesen Padang Besar mempunyai kemudahan imigresen Malaysia dan Thailand, membolehkan para penumpang meneruskan perjalanan ke Hat Yai dan seterusnya tanpa perlu untuk keluar dari stesen.

Bila dan bagaimana untuk membeli tiket?

Tiket ETS biasanya mula dijual 30 hari lebih awal, namun semasa musim perayaan utama seperti Hari Raya atau Tahun Baharu Cina, KTM mungkin membuka jualan lebih awal, sehingga 60 hari.

Adalah disarankan untuk membeli tiket sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal bagi mendapatkan kereta api pilihan anda, terutamanya pada musim puncak.

Tiket boleh dibeli secara online menerusi aplikasi mudah alih KTMB, laman web KTM atau di kaunter dan kios di stesen utama.

Related article image
Beberapa kategori tiket yang boleh didapatkan bergantung kepada bajet dan tahap keselesaan. (Gambar: KTM Berhad)
Kategori tiket mengikut bajet dan keselesaan

Menurut SAYS, terdapat beberapa kategori tiket yang boleh didapatkan bergantung kepada bajet dan tahap keselesaan:
 
  • Perak merupakan yang paling berpatutan tetapi kereta api berhenti di lebih banyak stesen.
  • Emas menawarkan perjalanan yang lebih cepat, dengan jumlah perhentian yang lebih rendah.
  • Platinum pula menawarkan perjalanan yang lebih pantas dengan hentian terhad dan memberikan penumpang keutamaan semasa menaiki kereta api.
  • Kelas Perniagaan/Ekspres ditawarkan bagi kereta api terpilih dengan kerusi lebih lebar, ruang kaki lebih luas dan hidangan yang disajikan di tempat duduk.

Harga tiket adalah berbeza mengikut kelas dan destinasi, lapor SAYS. Sebagai contoh, tiket sehala dari KL Sentral ke Padang Besar berharga antara RM91 (S$27.73) hingga RM153 (S$46.63).

Harga tiket juga mungkin dinaikkan semasa musim cuti dan perayaan.

Kanak-kanak bawah empat tahun boleh menaiki ETS secara percuma tetapi mereka perlu duduk bersama ibu bapa atau penjaga dan tidak diberikan tempat duduk berasingan.

Potongan tambang juga ditawarkan untuk kanak-kanak, warga emas dan golongan berkelainan upaya.

Apa yang perlu diketahui sebelum menaiki kereta api?

Anda perlu tiba di stesen sekurang-kurangnya 30 minit sebelum berlepas untuk pemeriksaan tiket dan keselamatan. Stesen seperti KL Sentral dan Butterworth boleh menjadi sesak, justeru, ketibaan lebih awal dapat memudahkan proses untuk menaiki kereta api.

Setiap penumpang dibenarkan untuk membawa dua beg bersaiz sederhana dan satu beg kecil. Bagasi besar boleh disimpan di ruang khas di setiap gerabak, yang memudahkan para pelancong yang membawa bagasi besar.
Related article image
ETS dilengkapi penghawa dingin dan pelbagai kemudahan untuk memastikan perjalanan yang selesa. (Gambar: KTM Berhad)
Kemudahan untuk keselesaan penumpang

Menurut, SAYS, ETS dilengkapi dengan penghawa dingin dan pelbagai kemudahan untuk memastikan perjalanan yang selesa.

Gerabak bistro menawarkan snek, minuman dan makanan ringan. Di samping itu, surau juga disediakan untuk penumpang Muslim. Tandas yang bersih turut disediakan di setiap gerabak, dengan sesetengah kereta api baharu dilengkapi dengan meja untuk menukar lampin bayi.

Kebanyakan tempat duduk mempunyai soket kuasa untuk mengecas peranti.

Gerabak Kelas Perniagaan pula mempunyai aturan kerusi 2+1 dengan ruang kaki yang lebih luas. Untuk keselamatan, semua gerabak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

ETS3 bagi laluan selatan sudah beroperasi pada 30 Ogos lalu, melibatkan laluan Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) – Kluang – KL Sentral.

Pada 23 Ogos, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut berkenan berangkat merasmikan ETS3 bagi laluan selatan di Stesen Kuala Lumpur.

Usai Majlis Peluncuran Khas ETS3, Sultan Ibrahim berkenan memandu sendiri kereta api ETS3 yang berkeupayaan mencecah kelajuan operasi hingga 140 km/j itu, menuju ke Stesen Kluang di Johor.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita