Terlanggar bangau punca jet pejuang TUDM terhempas pada Ogos
Terlanggar burung bangau seberat kira-kira satu kilogram dikenal pasti sebagai punca jet pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas di Pangkalan Udara Kuantan pada 21 Ogos lalu.
Muhamad Norazlan meninjau keadaan pesawat pejuang TUDM F/A-18D Hornet yang musnah sepenuhnya di Pangkalan Udara Kuantan pada 22 Ogos lalu. (Gambar: TUDM)
Panglima TUDM, Jeneral Muhamad Norazlan Aris berkata hasil siasatan Lembaga Siasatan yang ditubuhkan menunjukkan kesan pelanggaran seekor burung menyebabkan enjin pesawat gagal berfungsi.
Menurutnya, perlanggaran itu berlaku ketika pesawat mula terbang pada ketinggian kira-kira hampir 10 meter.
Menurutnya, hasil siasatan juga turut menemui cebisan bangkai burung tersangkut di enjin pesawat.
"Kejadian itu menyebabkan jet pejuang hilang kuasa dan juruterbang mengambil tindakan menggunakan kerusi lenting pada ketinggian kira-kira 50 meter di udara untuk melompat keluar dari jet dan pesawat terhempas," katanya pada sidang media di Pangkalan Udara Kuantan pada Khamis (18 Sep), seperti dinukil Harian Metro.
Nahas berlaku jam 9.05 malam itu menyebabkan juruterbang Mejar Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34, dan jurusensor pesawat, Kapten Mohamad Izzudin Mohamad Salleh, 28, cedera.
Ketika kejadian, pesawat itu sedang melakukan latihan terbang malam dan jet pesawat terhempas itu musnah sepenuhnya, menurut Harian Metro.
Jeneral Muhamad Norazlan berkata, lembaga siasatan mula bersidang pada 22 Ogos iaitu sehari selepas kejadian untuk mengenal pasti punca kemalangan itu.
Menurutnya, Lembaga Siasatan disertai tenaga pakar TUDM dengan dibantu polis, Jabatan Kimia, Tentera Laut Amerika Syarikat dan 'Defense Science and Technology Research Institute' (STRIDE).
"Hasil siasatan awal memberi keyakinan bahawa kemalangan pesawat itu berpunca daripada 'birdstrike' ketika fasa pesawat berlepas.
"Penemuan itu disokong analisa rakaman video kamera litar tertutup (CCTV), analisa data daripada 'Deployable Flight Incident Recorder System' (DFIRS) dan data teknikal serta analisa Jabatan Kimia.
"Burung yang dilanggar pesawat itu dikenal pasti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) sebagai bangau yang dikesan ada di landasan sebelum kejadian," katanya seperti dinukil Harian Metro.
Jeneral Muhamad Norazlan berkata, selepas menyedari kehadiran burung spesies 'purple heron' itu, usaha pengusiran dilakukan sebelum pesawat terbabit berlepas.
Menurutnya, menyusuli laporan pengesahan punca nahas disebabkan terlanggar burung dan bukan masalah enjin, TUDM serta-merta membatalkan penggantungan operasi jet pejuang F/A-18D Hornet dan pesawat itu dibenarkan terbang semula.
TUDM kini mempunyai baki tujuh lagi jet pejuang model itu dan pesawat itu digunakan sejak 1996.
Kejadian jet pejuang milik TUDM terhempas kerana terlanggar burung itu adalah kes pertama seumpama itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.